Sistem nyah garam air laut di Pulau Aman dijangka siap tahun hadapan – Zairil

Admin

GEORGE TOWN – Sistem penyahgaraman air laut dengan menggunakan teknologi ‘membrane’ dekat Pulau Aman dijangka siap pada tahun 2021.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik di Dewan Sri Pinang di sini pada 15 Oktober 2020.

“Hasil kajian mendapati bahawa air laut boleh dinyahgaraman dengan menggunakan teknologi ‘membrane’, namun demikian kerja-kerja penambahbaikan sedang dilaksanakan untuk meningkatkan operasi sistem tersebut.

“Sistem (penyahgaraman) di Pulau Aman itu dijangka siap pada tahun depan,” jelasnya yang juga ADUN Tanjong Bunga.

Di samping itu, Zairil memberitahu bahawa kapasiti efektif semasa air di Empangan Teluk Bahang adalah 27.5 peratus dan Empangan Air Itam (46 peratus) dan Empangan Mengkuang (90.5 peratus).

Selain itu, beliau memberitahu bahawa purata pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua sejakl 1 Januari 2020 adalah 963.2 juta liter sehari (MLD).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri bersetuju menerima penyerahan Empangan Mengkuang daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam satu majlis yang akan diadakan pada 26 Oktober 2020.

“Empangan Teluk Bahang ini merupakan kawasan tadahan air semula jadi, kenapa kapasiti efektif begitu rendah, saya boleh bercakap bahawa salah satu sebabnya adalah taburan hujan yang begitu rendah dan perubahan iklim.

“Berbeza dengan Empangan Mengkuang, ia ’empangan strategik’ yang dibina sebagai tempat simpan air, air dari sungai dipam (masuk) ke dalam empangan tersebut,” jelasnya menjawab soalan tambahan Choon Aik.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALVIE CHENG