Sistem pengecaman wajah di Pulau Pinang, pertama di Malaysia – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang pagi ini melancarkan projek pengecaman wajah, selepas siap memasang lebih 900 sistem kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian pulau dalam tempoh 10 tahun sejak 2008.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sistem keselamatan awam pintar bersepadu itu adalah menggunakan teknologi ‘IBM System’.

“Projek pengecaman wajah (facial recognition) ini merupakan yang pertama di Malaysia.

“Sebenarnya, lebih 900 buah unit CCTV yang dipasang ini tidak cukup untuk sebuah bandar raya.

“Kalau untuk seluruh Pulau Pinang, sekurang-kurangnya kita perlu 5,000 buah CCTV lagi, walaupun untuk sebuah bandar raya di dunia sebenarnya memerlukan kira-kira 20,000 CCTV.

“Dan, projek pengecaman wajah ini merupakan fasa selanjutnya selepas kita pasang CCTV, iaitu untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan awam,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dalam Majlis Pelancaran Projek Pengecaman Wajah di Pusat Kawalan CCTV Bersepadu MBPP dekat Tingkat 4, Komtar pada 2 Januari 2018.

Exco Perumahan, Perancangan Bandar & Desa dan Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Yew Tung Seang dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A. Thaiveegan turut berucap dalam majlis rasmi itu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan dan Warisan, Kebudayaan & Kesenian, Yeoh Soon Hin.

Kon Yeow dalam pada itu berharap operasi fasiliti pengecaman wajah dan sistem CCTV berpusat tersebut turut dapat dimanfaat untuk langkah pencegahan jenayah di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguatkuasa MBPP atas saling kerjasama dalam mengendalikan sistem CCTV bersatu, sehingga menyumbang kepada penurunan indeks jenayah sebanyak 19 peratus pada tahun 2018.

Di sini, turut diadakan simulasi tangkapan suspek penjenayah menggunakan sistem CCTV dan fasiliti pengecaman wajah, kendalian secara bersama penguatkuasa MBPP dan PDRM.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD