ADUN pilih hantar anak ke Sekolah Kebangsaan, yakin sistem baharu pendidikan negara

SEBERANG JAYA – Hari pertama sesi persekolahan baru di Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya dekat sini gamat dengan pelbagai telatah murid-murid tahun satu.

Tinjauan Buletin Mutiara mendapati, ada dalam kalangan mereka ceria dan bersemangat masuk ke kelas bagi sesi 2019 ini, manakala ada juga yang masih ‘berkepit’ dengan ibu bapa.

Bagaimanapun, kemunculan super hero, ‘Spiderman’ untuk menyambut kedatangan murid dilihat berjaya menarik perhatian mereka.

Dr. Afif Bahardin bersama anak beliau Ainaa Sofea yang memulakan persekolahan di tahun satu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin yang juga menghantar anak beliau, Ainaa Sofea, 7, ke sekolah tersebut, menjelaskan bahawa beliau memilih Sekolah Kebangsaan atas faktor keyakinan tinggi terhadap sistem pendidikan negara di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan.

Afif berkata, beliau amat mengharapkan agar institusi pendidikan negara diberi penekanan wajar dan bukan semata-mata bergantung kepada peruntukan.

“Kualiti penyampaian dan sistem pembelajaran kepada murid-murid harus diberi tumpuan, bukan hanya soal jumlah peruntukan sahaja.

“Saya difahamkan tahun ini juga merupakan tahun pertama pelaksanaan pelan tindakan pendidikan nasional yang mana akan ada perubahan dari segi sistem pentaksiran alternatif murid-murid.

“Bukan lagi berorientasikan peperiksaan tetapi lebih memfokuskan kepada kecenderungan dan perkembangan pembelajaran mereka.

“Oleh itu, kita mengharapkan agar sistem baru ini dapat mencungkil potensi sebenar anak-anak dari awal dan menggerakkan mereka untuk mencapai kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri.

Aksi super hero ‘Spiderman’ menceriakan merid-murid.

Tambah beliau, langkah Kementerian Pendidikan memansuhkan peperiksaan murid-murid Tahun Satu hingga Tiga disambut baik bagi memulihkan semangat dan prinsip sistem penilaian berasaskan sekolah

“Melalui sistem pentaksiran baharu ini, ibu bapa akan turut memainkan peranan secara aktif dengan pembelajaran anak-anak yang mana mereka akan melihat sendiri perkembangan pendidikan anak-anak mereka tanpa perlu menyerahkan sepenuhnya sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah.

“Jika dulu ibu bapa hanya tunggu kad laporan pelajar untuk melihat sama ada anak-anak mereka bagus atau tidak dalam pelajaran tetapi sekarang pendekatan yang diambil pihak kementerian adalah lebih aktif,” ulasnya.

Dalam pada itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Ramlee Abu Bakar memaklumkan seramai 246 murid tahun satu memulakan hari pertama di SK Pauh Jaya pada tahun ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD