Sistem perparitan konkrit elak banjir

Admin

PERMATANG PASIR – Para penduduk Kampung Kota di sini mampu menarik nafas lega berikutan insiatif Kerajaan Negeri untuk membina sistem perparitan konkrit bagi mengelak kejadian banjir kilat berlaku secara berterusan.

Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT), Saiful Azli Mohamed Nor berkata, sistem perparitan asal yang disiapkan oleh penduduk setempat bersama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) sebelum ini tidak dapat bertahan lama berikutan hanya menggunakan tanah. Ekoran itu, ia menyebabkan saluran sistem terbabit tersumbat dan seterusnya menyebabkan banjir apabila hujan turun.

“Sebelum ini, cadangan telah dikemukakan oleh pejabat daerah, namun, berikutan kekangan peruntukan, kita tidak dapat melaksanakannya pada tempoh segera walaupun keperluannya telah dipohon sejak beberapa tahun lalu.

“Namun pada tahun ini, kita akan dapat laksanakannya dengan membina sistem perparitan konkrit di bawah peruntukan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang”, kata Saiful Azli.

Saiful Azli berkata demikian ketika mengadakan lawatan bersama Choo Kiang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurut Choo Kiang, ekoran inisiatif berterusan, tahap banjir di Pulau Pinang pada tahun 2010 disahkan lebih baik berbanding negeri-negeri lain

“Walau bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati kerana keadaan cuaca seluruh dunia kini tidak menentu dan sebuah bandar besar juga boleh mengalami banjir. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan terus berusaha mengatasi permasalahan ini agar dapat terus memperbaiki tahap banjir ke arah yang lebih baik,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Antara projek yang telah diluluskan peruntukan di daerah SPT :

  • Persimpangan Jalan Machang Bubok – Bukit Teh – Projek menaiktraf sistem saliran (RM3 juta).

  • Kawasan Perindustrian Alma (Jalan Seladang) – Menaiktaraf parit di sepanjang Jalan Seladang (RM1.3 juta).

  • Lembangan Sungai Rambai (Taman Makok dan Taman Desa Damai) – Projek rumah pam dan naiktaraf sistem perparitan (anggaran RM10 juta).

  • Taman Remia – Projek menaiktaraf parit dan kolam takungan (RM1 juta).

  • Kampung Kebun Sireh – Menaiktaraf sistem perparitan (RM240,000).