SJAM cipta hatrik, kekal juara kawad kaki tiga tahun berturut-turut

Admin
img 20260923 wa0015

KEMENANGAN St. John Ambulance of Malaysia (SJAM) Negeri Pulau Pinang sebagai Johan Kawad Kaki sempena Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri bagi Kategori Sektor Swasta bukan sekadar kejayaan di medan perbarisan.

Lebih daripada sekadar langkah seragam dan formasi yang kemas, pencapaian itu menjadi bukti keteguhan disiplin, komitmen serta semangat berpasukan ratusan anggota dan kadet SJAM yang menjalani latihan intensif bagi memastikan setiap langkah, hentakan dan arahan dilaksanakan dengan penuh ketepatan.

Lebih membanggakan, kejayaan tahun ini melengkapkan hatrik tiga tahun berturut-turut SJAM Pulau Pinang bergelar juara selepas turut meraih kemenangan pada 2024 dan 2025.

Kejayaan tersebut melayakkan pasukan SJAM membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 berserta piala iringan dan piala pusingan.

Menurut Pemerintah Negeri SJAM Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Yee Thiam Sun, kejayaan tersebut tidak hadir dengan mudah, sebaliknya merupakan hasil komitmen berterusan pelbagai pihak termasuk pegawai, jurulatih, anggota dewasa, kadet, pihak sekolah serta ibu bapa.

img 20260923 wa0005
Dato’ Seri Dr. Yee Thiam Sun.

“Untuk tahun ini, kita melibatkan seramai 291 anggota dan pegawai, terdiri daripada 25 pegawai, 26 anggota dewasa bekas pelajar, manakala selebihnya merupakan kadet dari sekolah.

“Sebanyak 15 sekolah mengambil bahagian dalam perbarisan tahun ini, selain pasukan ambulans dan sukarelawan lain,” katanya dalam sesi wawancara khas bersama wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, SIEW CHIA EN di Ibu Pejabat SJAM Negeri Pulau Pinang dekat Air Itam pada 22 September 2026.

img 20260923 wa0017img 20260923 wa0033img 20260923 wa0026img 20260923 wa0018

 

 

Menurut Thiam Sun, penyertaan SJAM Pulau Pinang dalam perbarisan Hari Kebangsaan bukanlah perkara baharu apabila organisasi berkenaan pernah menyertainya sebelum ini, termasuk kali terakhir pada 2019.

Walau bagaimanapun, penyertaan tersebut terhenti susulan pandemik COVID-19 sebelum kembali pada 2024 selepas menerima jemputan daripada mantan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, dengan pendaftaran dibuat melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang.

Satu langkah, satu matlamat

Mengimbau persediaan menghadapi pertandingan, Thiam Sun berkata, latihan lazimnya bermula kira-kira dua bulan selepas surat jemputan diterima, dengan tumpuan diberikan kepada disiplin, kekemasan barisan, keseragaman pergerakan dan kepatuhan terhadap arahan.

“Sekurang-kurangnya tiga sesi latihan gabungan diadakan untuk semua anggota kadet.

“Sebelum itu, sekolah-sekolah di Seberang Perai dan bahagian pulau turut menjalankan latihan masing-masing.

“Selepas asas latihan dibentuk pada peringkat sekolah, mereka akan bergabung di ibu pejabat untuk menjalani latihan bersama,” jelasnya.

Proses latihan turut diperkemaskan menerusi penglibatan pegawai, Pemerintah Kawasan serta jurulatih bagi memastikan setiap pergerakan dilakukan mengikut piawaian dan disiplin yang ditetapkan.

Bagi Timbalan Pemerintah Negeri SJAM Pulau Pinang, Karen Lim Jia Dih, kejayaan berkenaan tidak boleh dilihat hanya pada hari pertandingan kerana persediaan sebenar bermula jauh lebih awal.

img 20260923 wa0009
Karen Lim Jia Dih.

Katanya, cabaran utama termasuk memastikan kehadiran penuh peserta yang datang dari lokasi berbeza, selain menguruskan jadual latihan agar tidak bertembung dengan program persekolahan.

“Pelajar datang dari sekolah yang berlainan dan ada komitmen sekolah masing-masing.

“Jadi, untuk mengumpulkan semua dalam satu masa bukan sesuatu yang mudah.

“Dalam masa sama, kita juga perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) bagi penglibatan sekolah,” katanya.

 

Kos, logistik jadi cabaran

Menurut Jia Dih, aspek kewangan dan logistik turut menjadi antara cabaran yang perlu ditangani setiap kali persiapan perbarisan dilakukan.

Jelasnya, kos pengangkutan khususnya sewaan bas untuk membawa pelajar dari sekolah masing-masing ke lokasi latihan, selain keperluan peralatan seperti kasut seragam, memerlukan komitmen kewangan yang bukan sedikit.

“Biasanya ibu bapa banyak membantu menanggung kos yang berkaitan.

“Kita perlu menyelaraskan pengangkutan kerana peserta datang dari pelbagai lokasi.

“Pada masa sama, kita perlu memastikan semua peserta mempunyai kelengkapan yang sesuai dan seragam untuk latihan serta pertandingan,” katanya.

Namun, segala kekangan tersebut tidak menghalang SJAM Pulau Pinang daripada terus memberikan komitmen bagi memastikan penyertaan setiap tahun dapat dilaksanakan dengan baik.

img 20260923 wa0030img 20260923 wa0024

Bukan sekadar kawad kaki

Sementara itu, Sarjan Mejar Negeri SJAM Pulau Pinang, Goh Kai Boon melihat penyertaan dalam kawad kaki sebagai platform penting dalam membentuk karakter generasi muda.

img 20260923 wa0004
Goh Kai Boon.

Menurut beliau, kawad kaki bukan sekadar persembahan yang dinilai berdasarkan ketepatan langkah atau kekemasan formasi, sebaliknya proses latihan yang dilalui mampu membentuk disiplin dan nilai kerja berpasukan dalam kalangan kadet.

“Kawad kaki bukan sekadar pertunjukan, sebaliknya mengajar mereka tentang disiplin, kerjasama, sikap berpasukan dan semangat.

“Apabila seorang anggota bergerak, semua perlu bergerak bersama dan mereka juga belajar bahawa kejayaan tidak boleh dicapai seorang diri,” katanya.

Nilai tersebut, tambahnya lagi, selari dengan semangat SJAM yang bukan sahaja memberi penekanan kepada kemahiran pertolongan cemas dan khidmat kemasyarakatan, malah pembentukan sahsiah serta kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

img 20260923 wa0002img 20260923 wa0028

Cipta hatrik

Kejayaan merangkul gelaran juara pada 2024, 2025 dan 2026 pula menjadi bukti bahawa pencapaian SJAM Pulau Pinang bukan sekadar kejayaan bermusim.

Sebaliknya, kejayaan itu lahir daripada latihan yang konsisten, kesungguhan jurulatih dan pegawai, komitmen pelajar serta sokongan ibu bapa yang terus menjadi tulang belakang kepada penyertaan tersebut.

Kai Boon berkata, pihaknya amat menghargai pengorbanan semua pihak yang terlibat dalam memastikan SJAM Pulau Pinang mampu mempertahankan pencapaian berkenaan.

“Ini adalah hasil usaha berterusan dan kita mempunyai pasukan yang sanggup berkorban masa, tenaga serta komitmen untuk berlatih.

“Apa yang paling penting adalah komitmen pelajar, sokongan ibu bapa serta kesungguhan pegawai dan jurulatih,” katanya.

img 20260923 wa0016img 20260923 wa0013

 

Langkah diteruskan

Menghadapi tahun-tahun akan datang, Pegawai Turus Negeri (Kadet) SJAM Pulau Pinang, Rosli Yusof memberitahu bahawa SJAM Pulau Pinang komited untuk terus menyertai acara perbarisan dan program berkaitan, tertakluk kepada kebenaran serta keputusan pihak pengurusan.

img 20260923 wa0010
Rosli Yusof.

Pada masa sama, usaha meningkatkan mutu persembahan dan latihan akan terus diberi perhatian, termasuk cadangan untuk membuka ruang penyertaan kepada pelajar sekolah rendah apabila keadaan mengizinkan.

“Kita mahu terus memperbaiki mutu dari tahun ke tahun.

“Kalau ada peluang dan keadaan mengizinkan, kita juga mahu melihat lebih ramai pelajar, termasuk dari sekolah rendah, didedahkan kepada latihan ini,” katanya.

Bagi SJAM Pulau Pinang, tiga kejuaraan berturut-turut bukanlah noktah.

Sebaliknya, setiap kemenangan membawa satu amanah, iaitu untuk terus melangkah, terus berdisiplin dan terus membentuk generasi sukarelawan yang bukan sahaja cekap berkhidmat, tetapi mempunyai jati diri serta semangat berpasukan yang kukuh.

Tiga tahun dan tiga kejuaraan. Namun, di sebalik setiap langkah yang seirama, ada ratusan pengorbanan yang menjadikannya bermakna.

Dan langkah itu, kata SJAM Pulau Pinang, akan terus diperkemas menuju 2027.

Turut hadir dalam wawancara berkenaan ialah Pegawai Logistik SJAM Pulau Pinang, Brandon Yap Ping Shyan.

img 20260923 wa0025