SK Alma terima RM20,000 sumbangan Ahli Parlimen Bukit Mertajam

STEVEN Sim Chee Kheong (kanan) menyerahkan cek replika sumbangan berjumlah RM20,000 kepada wakil PIBG Sekolah Kebangsaan Alma, Zawawi Aziz sambil disaksikan oleh Lee Khai Loon (tengah) di sini pada pagi tadi.

MACHANG BUBUK – Sekolah Kebangsaan (SK) Alma pada pagi ini menerima sumbangan RM20,000 daripada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong untuk membiayai kos projek penaiktarafan tandas pelajar lelaki yang telah siap di sekolah berkenaan.

 

Bercakap kepada pemberita, Chee Keong memberitahu bahawa sumbangan itu adalah susulan permohonan peruntukan daripada Guru Besar sekolah berkenaan, Fazliyaton Suhaimi sendiri pada bulan Jun lepas.

 

“Kalau permohonan daripada pihak sekolah, kita akan beri sokongan penuh.

 

“(Dan) dengan sumbangan ini, saya nampak ‘wajah baharu’ tandas pelajar lelaki pun bertambah ceria dan bersih, sekurang-kurangnya akan memudahkan anak-anak kita menjalani proses pembelajaran di sekolah,” jelasnya di sini pada 26 Ogos 2022.

 

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) SK Alma, Zawawi Aziz.

 

Buletin Mutiara difahamkan, Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Bukit Mertajam menerima permohonan tersebut pada hujung bulan Julai lepas, manakala kerja-kerja penaiktarafan tandas pelajar lelaki itu mula dilaksanakan pada awal bulan Ogos dan siap baru-baru ini.

 

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB