Skim Latihan Dwi-Vokasional Jerman PSDC perlu sokongan pemain industri – KM

Admin
曹观友与毕业生及出席嘉宾合照。

BAYAN LEPAS – Para pemain industri berkapasiti tinggi di negeri ini dialu-alukan mengambil bahagian serta menyokong Skim Latihan Dwi-Vokasional Jerman (GDVT) yang sedang dilaksanakan agensi negeri, Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu, pengajian teknikal dan latihan vokasional (TVET) melalui GDVT yang dilaksanakan kini tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa sokongan pemain industi di negeri ini.

“Kerajaan Negeri menaja RM2 juta untuk menyokong program GDVT di Pulau Pinang.

“Kita harap program (GDVT) ini akan berkembang, kerana untuk memastikan program ini berjaya, perlu ada sokongan daripada Kerajaan Negeri dan pelajar.

“Dan, kedua, yang paling penting adalah sokongan daripada industri kerana tanpa adanya industri, kita tidak boleh membuat program ini,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Istiadat Konvokesyen Graduan German Dual Vocational Traning (GDVT) di Auditorium Kompleks Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dekat Bayan Lepas pada pagi 28 Julai 2018.

Turut berucap, Pemangku Majlis Pengurusan PSDC, Datuk Teh Yong Khong.

Pengarah Bahagian Penyelaras Bumiputera Pulau Pinang, Unit Penyelaras Pelaksana (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Asuat Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif PSDC, Muhamed Ali Hajah Mydin turut sertai sidang media berkaitan.

Bercakap pada sidang media sama, Muhamed Ali memberitahu, graduan GDVT dari PSDC ketika ini mempunyai lebih banyak peluang untuk bekerja dalam indistri berkaitan ‘mechatronics’, berbanding lepasan universiti awam tertentu lain.

“Lepasan universiti ataupun politeknik, perlu menghabiskan semua pengajian dalam tempoh tiga tahun atau empat tahun untuk bidang kejuruteraan ‘mechatronics’.

“Tetapi, pelatih di bawah program GDVT ini, mereka akan belajar dalam jurusan ‘mechatronics’ seperti di universiti juga, cuma dilatih secara khusus di industri-industri terpilih, mereka akan graduasi dalam bidang ‘mechatronics’ khusus mengenai industri tempat mereka dilatih,” jelasnya sambil memberitahu bahawa GDVT ini adalah contoh sistem sokongan yang diprogramkan oleh Kerajaan Negeri bagi memenuhi permintaan tenaga buruh mahir dalam Revolusi Industri 4.0 kini.

Tambah Muhamed Ali, pelatih GDVT tidak membayar sebarang yuran, kerana kos pengajian mereka dibiayai Kerajaan Negeri dan para pemain industri berkapasiti tinggi terpilih.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS