Skuad Khas Pasca Banjir MBPP terima pengiktirafan

GEORGE TOWN – Susulan bencana banjir di Selangor dan Pahang pada penghujung tahun lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dengan menghantar bantuan logistik dan menggerakkan aset menerusi misi kemanusiaan skuad khas pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

KETUA Menteri berucap secara atas talian di sekitar majlis penghargaan baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merupakan antara pasukan terawal yang menggerakkan misi pasca banjir ke Selangor dan Pahang.

“Pada 19 Disember lalu, MBPP telah menggerakkan seramai 90 kakitangan dan menghantar segala keperluan termasuk peralatan serta kenderaan bagi kerja-kerja operasi pembersihan pasca banjir.

“Dalam pada itu, Pulau Pinang turut menghantar anggota perubatan daripada Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT), pasukan sukarelawan ‘Save City Volunteers’ dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri terlibat.

“Langkah ini adalah sebagai membalas jasa atas bantuan yang dihulurkan ketika Pulau Pinang dilanda musibah banjir paling buruk dalam sejarah negara pada November 2017,” ujarnya ketika hadir pada Majlis Penghargaan Petugas-Petugas Skuad Khas Pasca Banjir secara maya di sini sebentar tadi.

Dalam majlis sama, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada wira-wira skuad misi banjir MBPP serta semua pihak yang telah berjaya menyelesaikan tugasan.

“Pujian harus diberikan untuk segala komitmen, kerja keras dan pengorbanan ‘meninggalkan’ keluarga serta anak-anak untuk berdepan tugasan yang besar dan mencabar.

“Saya berharap momentum serta kerjasama ini akan terus dikekalkan dan ditanam agar menjadi penyuntik semangat untuk terus maju ke hadapan.

“Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang membawa nama baik Pulau Pinang dalam menyempurnakan misi kemanusiaan ini,” katanya sambil memuji tindakan pantas Datuk Bandar MBPP yang menghantar misi bantuan segera berkaitan.

TUNG Seang ketika berucap pada majlis yang diadakan sebentar tadi.

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang menyatakan bahawa skuadnya telah berkampung di Pahang selama 19 hari bagi membantu mangsa banjir.

“Skuad khas MBPP bergerak ke Pahang pada 19 Disember 2021 untuk melaksanakan Misi Pasca Banjir ‘Gigih Perkasa’ dan pulang semula ke sini pada 6 Januari 2022.

“Pastinya, jasa dan pengorbanan anggota skuad khas ini akan dikenang dan sangat disanjung tinggi.

“Bagi pihak MBPP, kami akan sentiasa bersedia menghadapi sebarang krisis atau bencana alam pada masa hadapan,” ulasnya.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. A. Rajendran.

JAGDEEP ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada skuad khas yang terlibat.

Para petugas Skuad Khas Pasca Banjir diraikan dalam jamuan makan tengah hari di The TOP Komtar dan menerima sijil penghargaan berserta baucar makanan di restoran makanan segera bernilai RM200 setiap seorang.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : CHAN KOK KUAN