Sokong pembangunan pendidikan, bangunan baharu SJKC Han Chiang dijangka siap hujung Februari – Jagdeep

Admin

DATOK KERAMAT – Kerja-kerja pembinaan bangunan pembelajaran dan pemudahcaraan baharu bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Han Chiang kini telah mencapai kadar 99 peratus bagi Fasa 1 dan Fasa 2 (40 peratus) serta dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan Februari 2022.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Fasa 1 melibatkan projek pembinaan sebuah bangunan empat tingkat yang mempunyai 22 bilik darjah dan sebuah gelanggang bola keranjang tertutup.

 

KERJA-KERJA akhir sedang giat dijalankan.

Manakala, Fasa 2 pula merangkumi pembinaan pondok pengawal, pintu pagar utama, laluan berbumbung serta pengecatan semula bangunan lama sekolah yang berusia 103 tahun itu.

Projek pembangunan ini disokong sepenuhnya oleh kita (Kerajaan Negeri) memandangkan pembangunan pendidikan merupakan salah satu keutamaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan tidak boleh diabaikan walaupun semasa pandemik ini.

 

“Sebab itu, kita (Kerajaan Negeri) sedaya-upaya akan cuba membantu pembangunan pendidikan di negeri ini agar dapat melahirkan bakat yang berpengetahuan dan bernilai tinggi sekali gus menjamin kelangsungan pembangunan negeri ini pada masa hadapan,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di bangunan baharu SJKC Han Chiang dekat sini pada 27 Januari 2022.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat hadir bersama-sama Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah SJKC Han Chiang, Datuk Seri Ooi Soo Hing dan Pengarah Eksekutif Lembaga Pengelola Sekolah SJKC Han Chiang, Tan Sri Tan Kok Ping bagi memantau projek pembangunan berkaitan.

 

JAGDEEP Singh Deo (depan sekali) meninjau kemajuan projek pembinaan bangunan baharu SJKC Han Chiang dekat sini.

Turut serta Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A. Rajendran.

Sebagai rekod, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sejumlah RM137.02 juta untuk membantu dalam penarafan dan pembangunan pendidikan di negeri ini sejak tahun 2009.

Dalam pada itu, Jagdeep memberitahu bahawa sehingga hari ini Kerajaan Negeri telah menyalurkan sejumlah RM320,000 bagi pembangunan berkaitan di sini.

 

JAGDEEP Singh Deo (tengah) menyerahkan sumbangan berjumlah RM50,000 bagi pembangunan sekolah berkenaan.

(Dan) bagi menjamin kesejahteraan serta kemakmuran persekitaran sekolah, sebagai ADUN Datok Keramat saya akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM50,000 lagi menggunakan peruntukan saya sendiri untuk penyempurnaan projek ini.

“Selain dilengkapi dengan kemudahan terkini pembelajaran, pembinaan bangunan baharu ini juga menerapkan ciri-ciri yang komprehensif dan hijau, sejajar dengan agenda hijau Kerajaan Negeri menerusi Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya.

Sementara itu, Kok Ping ketika diminta mengulas mengenai projek yang menelan belanja kira-kira RM8.2 juta itu, berharap agar projek tersebut dapat disempurnakan mengikut jadual dan menjangkakan pembukaan pada bulan Mac nanti.

Terdahulu, pada April 2021, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hadir bagi menyempurnakan upacara peletakan batu asas di sekolah berkenaan.

Difahamkan, sekolah yang wujud sejak tahun 1919 itu, mempunyai dua bangunan masing-masing dua dan tiga tingkat yang menempatkan 20 bilik darjah.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN