Skuad para boling padang raih dua pingat, tumpuan kini pada baki empat perlawanan penting

Admin
img 7078 CHEF de Mission Kontinjen Negeri Pulau Pinang Ke Temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 Selangor, Connie Tan Hooi Peng (tengah) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima merakamkan gambar kenangan bersama-sama Mohd. Firdaus Ab. Rahman (kanan) dan Muhammad Hakimmie Mohd. Idris (kiri), seusai acara pengalungan pingat yang berlangsung Stadium Tertutup Boling Padang Bayuemas dekat Klang pada 9 September 2026.

KLANG, SELANGOR — Skuad para boling padang Pulau Pinang berjaya meraih dua pingat setakat jam 1.00 petang tadi dalam saingan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 Selangor di Stadium Tertutup Boling Padang Bayuemas.

Sandaran kini diletakkan pada baki empat perlawanan penting yang dijadualkan berlangsung sepanjang hari ini bagi menambah koleksi pingat kontinjen negeri.

img 7080
MOHD. Firdaus Ab. Rahman

Pingat gangsa disumbangkan oleh Mohd. Firdaus Ab. Rahman dalam kategori perseorangan B7 lelaki lewat petang semalam selepas menang 21-7 kepada atlet Sarawak, Abdul Waled Jais.

img 7079
MUHAMMAD Hakimmie Mohd. Idris

Momentum itu diteruskan pada pagi tadi apabila Muhammad Hakimmie Mohd. Idris meraih pingat perak dalam kategori perseorangan B6 lelaki selepas tewas 9-13 kepada atlet Negeri Sembilan, Mohd. Syazwan Kamaruddin.

Tumpuan skuad negeri kini terarah kepada empat aksi yang dijadualkan bermula jam 3.45 petang ini.

Bagi kategori beregu campuran/terbuka B6, Muhammad Halim Mohd. Salleh dan Mohd. Hakimmie dijadualkan berdepan dengan gandingan Sarawak, Nischal Nischolas Anak Bujang dan Urie Anak George.

Pada masa sama, aksi beregu campuran/terbuka B8 menyaksikan Mohamad Haikal Mohamad Naser dan Muhammad Naufal Iman Mohd. Nazi bertembung dengan wakil Perlis, Aimy Nur Shafiqah Amran dan Mohamad Syamil Mohamad Fauzi.

Cabaran Pulau Pinang diteruskan pada jam 5.30 petang menerusi acara beregu campuran/terbuka B7 apabila Muhammad Zulkarnain Maula Md. Zakari dan Abdul Halim Abu Bakar berentap dengan pasangan Terengganu, Muhammad Hamirul Azwa Muda dan Muhammad Fadlullah Mazdan.

Gandingan Abdul Halim dan Muhammad Zulkarnain kemudiannya bakal turun sekali lagi pada jam 9.30 malam untuk melengkapkan saingan hari ini dengan menentang pencabar dari Perlis, Muhammad Alif Malek dan Amira Nirwani Mohamad.

Difahamkan, saingan penentuan pingat tambahan buat Pulau Pinang dijadualkan berlangsung esok sekiranya mana-mana atlet negeri berjaya mencatat kemenangan pada hari ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SIEW CHIA EN