SMK Bagan Jaya terima peruntukan selenggara bangunan RM700,000

Admin
LIM Hui Ying (berdiri) turut mendapatkan maklum balas daripada pelajar Tingkatan 4 Jed, SMK Bagan Jaya berhubung kemudahan asas di sekolah kerajaan tersebut, semasa lawatan di sini pada 10 Julai 2023.

SUNGAI PUYU – Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk kerja-kerja menaik taraf bumbung bangunan serta sistem pendawaian elektrik yang begitu daif di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Jaya, sementara baki RM200,000 lagi disalurkan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng untuk projek pembaikan tiga tandas pelajar serta pemasangan penyaman udara di bilik guru sekolah tersebut di sini.

LIM Hui Ying (tiga dari kanan) diiringi Lim Guan Eng (empat dari kiri) dan barisan pentadbir SMK Bagan Jaya turut meninjau dari jauh keadaan fizikal salah satu blok bangunan sekolah kerajaan di sini tadi.

Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan semua pemegang taruh dalam usaha meningkatkan infrastruktur sekolah-sekolah kerajaan termasuk di negeri Pulau Pinang, sebagaimana dijanjikan semasa dilantik sebagai Timbalan Menteri pada awal bulan Disember tahun lepas.

“Sekolah ini baru berusia 25 tahun, tetapi keadaan daif (pada infrastruktur fizikal bangunan) macam berusia 80 tahun.

“Selaras dengan konsep ‘Sekolah Milik Masyarakat’ atau SMM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat menghargai sokongan dan dokongan serta komitmen daripada pelbagai pihak (termasuk) masyarakat dalam usahasama menaik taraf kemudahan sekolah.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan pihak pentadbir sekolah memperkasakan sesi libat urus dengan para pemegang taruh untuk pendapatkan pandangan dan persefahaman demi pembangunan institusi pendidikan,” jelasnya selepas mengadakan lawatan ringkas ke SMK Bagan Jaya di sini pada 10 Julai 2023.

Bercakap pada sidang media sama, Guan Eng menjelaskan bahawa anggaran kos membaiki tiga tandas pelajar yang dimohon oleh pihak sekolah berkenaan sebelum ini adalah sekitar RM147,000 sahaja.

“Jumlah RM200,000 ini saya luluskan kepada PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru) untuk mereka jalankan projek pembaikan ketiga-tiga tandas; dan bakinya (kira-kira RM53,000) adalah untuk pemasangan penyaman udara di bilik guru,” jelasnya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Di samping itu, beliau berharap KPM turut menyumbang peruntukan tambahan jika baki sumbangan untuk kerja-kerja pendawaian semula elektrik bagi pemasangan sistem penyaman udara di bilik guru berkenaan masih tidak mencukupi.

Dalam perkembangan lain, Hui Ying turut mengulas video tular seolah pelajar dibuli tiga rakan lain di sebuah sekolah dekat Tanah Merah, Kelantan; dan kes abang mencekik adik hingga mati di Melaka baru-baru ini yang dikaitkan dengan kesan menjadi mangsa buli di sekolah.

Beliau berkata peringkat kementerian masih menjalankan siasatan dalaman, begitu juga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Perkara ini (kes buli di sekolah) tidak sepatutnya berlaku.

“Pihak kementerian (KPM) tentu menjalankan siasatan, pada masa sama (dua kes buli di sekolah) ini turut dalam siasatan pihak polis,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI