SMK Kampong Kastam, SJKC Lee Chee juara Anugerah Sekolah Hijau Seberang Perai, syabas!

Admin
img 6426

SEBERANG JAYA – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Kastam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lee Chee dinobatkan sebagai johan Anugerah Sekolah Hijau Peringkat Seberang Perai 2025 bagi kategori menengah dan rendah.

Kedua-dua sekolah tersebut membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan sijil penyertaan.

Menurut Guru Penyelaras Sekolah Hijau SMK Kampong Kastam, Lydia Lirek Anyie, komitmen seluruh warga sekolah menjadi kunci kejayaan merebut gelaran johan buat kali kedua bagi anugerah itu.

“Terima kasih dan syabas kepada semua warga sekolah atas komitmen yang diberikan, sekali gus kunci kejayaan untuk Anugerah Sekolah Hijau Peringkat Seberang Perai 2025 ini.

“Selain itu, kami turut menanam sikap melalui slogan ‘think green, go green’ kepada seluruh warga sekolah untuk memastikan agenda sekolah hijau tercapai.

“Malah, faktor satu kelas satu taman juga mungkin menjadi salah satu penyumbang kepada kejayaan yang dicapai untuk tahun ini,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara.

Tambahnya, kerjasama erat semua pihak juga berjaya menyatukan sekolah tanpa mengira murid, kakitangan dan guru-guru untuk menjayakan projek hijau dengan penuh semangat.

img 6420

Sementara itu, Guru Penyelaras Sekolah Hijau SJKC Lee Chee, Teoh Pay Shy memberitahu bahawa pihaknya turut menjalankan pelbagai projek hijau di luar sekolah dalam memupuk minat murid ke arah sekolah hijau.

“Saya mengadakan banyak program untuk murid sertai contohnya Earth Hour, Earth Day di samping membawa murid-murid menyertai program pembersihan pantai.

“Kami juga mengadakan hari kutip bahan kitar semula setiap minggu dengan menawarkan ganjaran tertentu bagi menggalakkan penyertaan daripada murid-murid dan ibu bapa,” jelasnya.

img 6429

Berucap pada majlis tersebut, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid memberitahu bahawa Anugerah Sekolah Hijau bukan sekadar sebuah pertandingan, malah adalah gerakan pendidikan alam sekitar yang telah dijalankan sejak 2010.

“Daripada hanya 30 buah sekolah pada tahun pertama penganjuran, penyertaan kini meningkat kepada lebih 150 sekolah pada kemuncaknya, suatu perkembangan yang menjadikan Seberang Perai sebagai antara pihak berkuasa tempatan (PBT) paling aktif mempromosikan pendidikan kelestarian di negara ini.

“Penilaian program ini merangkumi aspek Kecekapan Sumber Asli, Inovasi & Kreativiti, Kebersihan & Penghijauan, Penglibatan Komuniti / Digital, serta Pembentangan.

“Kriteria ini adalah asas kepada pembentukan budaya sekolah mampan, yang membentuk karakter dan minda pelajar sebagai warga bertanggungjawab.

“Lebih membanggakan, bermula tahun 2024, setiap sekolah diwajibkan menubuhkan Kelab Sekolah Hijau atau Kelab Alam Sekitar.

“Justeru, MBSP memperkenalkan Anugerah Kelab Sekolah Hijau Yang Cemerlang sebagai pengiktirafan kepada kelab yang benar-benar aktif dan berkesan,” katanya lagi.

Pada majlis sama, SMK Bakti muncul naib johan bagi kategori menengah dan SMK Telok Air Tawar (ketiga).

Bagi kategori sekolah rendah, tempat kedua disandang SK Mak Mandin dan tempat ketiga, SJKC Chin Hwa.

Antara kategori lain yang dipertandingkan termasuklah Anugerah Emas, Perak dan Gangsa.

Kategori khas pula merangkumi Program Sisa Sifar; Inovasi dan Kreativiti; Penglibatan Komuniti/Digital serta Kebersihan & Penghijauan.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI