Pengembala lembu susu, pengalaman baru janji kepuasan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

KALAU berhasrat membela lembu, seseorang perlu lebih rajin, merupakan ungkapan pembuka bicara seorang pengembala lembu susu di Balik Pulau, LEE SOON SENG yang menerima kunjungan Buletin Mutiara pada 27 November 2020.

Berdasarkan pengalaman membela ayam, khinzir dan belajar daripada pengembala lain, Soon Seng kini boleh berbangga dengan 18 ekor lembu yang dimiliki beliau selepas hampir lima bulan menyelami bidang tersebut.

“Sebelum bela lembu, kita kena tanam rumput dahulu, rumput terbaik adalah jenis napier kerana ia sesuai dengan lembu susu.

“Saya mula menanam rumput tersebut tiga bulan sebelum mengembala lembu bagi memudahkan penghasilan makanan ternakan.

“Pada setiap hari, seekor lembu susu perlu dibekalkan dengan kira-kira 30 kilogram (kg) rumput untuk dimakan, dan sebelum itu rumput adalah perlu dikisar halus sebelum diberikan kepada lembu,” ujarnya yang menjalankan ternakan di Kampung Paya Kongsi.

Mengulas lanjut, Soon Seng menyatakan bahawa bidang berkaitan adalah amat menitikberatkan soal kebersihan.

“Kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan dengan kerap agar lalat tidak banyak di kawasan ternakan.

“Di sini, ramai (pengunjung) yang puji, lalat cuma berada pada tahap minimum, datang sini pun bau tidak berapa busuk, kebersihan memang kena jaga dan itulah yang kita kena rajin untuk hasilkan susu berkualiti,” jelasnya yang mana lading beliau sebelum ini pernah menerima kunjungan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menyentuh mengenai hasil susu, Soon Seng memaklumkan bahawa seekor lembu mampu menghasilkan tiga hingga lapan kg susu untuk sekali proses perahan.

“Bela lembu susu ini tidak boleh main-main, keseluruhannya, saya perlukan 14 bulan untuk aspek persiapan sahaja.

“Mengenai kesihatan ternakan juga perlu belajar dan tahu, waktu mengawan serta lain-lain.

“Justeru, semasa lembu bunting, lembu perlu lebih diberi lebih perhatian kerana pada tempoh masa tersebut, ia tidak lalu makan sehingga membantutkan penghasilan susu,” ulasnya ketika menyentuh mengenai aspek cabaran dalam bidang berkenaan.

“Hasil susu setakat ini adalah dijual di kawasan Balik Pulau sahaja, mana ada (kaum) Cina bela lembu, saya seorang sahaja di kawasan ini, pasaran pun kecil sahaja.

“Bagi memudahkan proses jualan, saya mengambil inisiatif menyediakan pusat penyimpanan susu di sini, yang mana apabila susu diperah, ianya akan dipanaskan beberapa jam supaya lebih bersih serta berkualiti.

“Susu yang diperah mampu bertahan kira-kira seminggu sekiranya disimpan di tempat sejuk, kalau sejuk beku, tempoh tahan adalah lebih lama,” ulasnya yang turut memperoleh beberapa panduan daripada pihak Jabatan Veterinar (Pulau Pinang).

Ditanya mengenai harapan, Soon Seng berharap agar badan-badan kerajaan berkaitan dapat membantu beliau daripada segi modal membeli lembu.

“Kalau boleh memang sasar nak bela kira-kira 100 ekor lembu dan luaskan pasaran susu ini,” katanya.