SPA ‘hadiah’ untuk Anwar, pengundi Permatang Pauh – KM

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata pembangunan SPA atau Seberang Perai Arena bernilai RM11 juta yang siap dibina di sini baru-baru ini merupakan ‘hadiah’ daripada Kerajaan Negeri atas perjuangan rakyat bersama-sama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memulihara sistem demokrasi negara.

Katanya, Anwar dianggap sanggup mengorbankan diri hingga disabitkan bersalah lalu dipenjara sejak 10 Februari lepas demi mempertahankan prinsip perjuangan rakyat dalam melawan rasuah, pemborosan, ketirisan serta penyelewengan kuasa di sini.

“Inilah ‘hadiah’ dalam bentuk pembangunan untuk manfaat rakyat dan bukan untuk kepentingan diri sendiri.

“Sungguhpun beliau (Anwar) tidak dapat merasmikan SPA ini, beliau akan senantiasa dalam kenangan atas jasa dan baktinya kepada pengundi Permatang Pauh,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Majlis Pelancaran Pembukaan SPA di sini baru-baru ini.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Selangor turut hadir sebagai wakil Ahli Parlimen Permatang Pauh berkenaan.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan isteri, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus, para Exco Kerajaan Negeri serta beberapa wakil rakyat lain.

Menurut Guan Eng, projek dibiayai sepenuhnya oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) tersebut berkonsepkan komuniti di atas sebidang tanah berkeluasan 6.9 ekar, termasuk 25,000 kaki persegi dewan bankuet serta arena sukan.

Tambahnya, dewan bankuet berhawa dingin itu boleh menampung 100 meja jamuan atau 1,000 orang dalam satu satu masa. Itu, jelas beliau, tidak termasuk ruang luar yang boleh memuatkan sehingga 300 orang.

Selain memenuhi acara keraian, Guan Eng memberitahu, SPA juga turut dilengkapkan dengan pejabat dan bilik-bilik mesyuarat, bilik AV, dewan tertutup dengan pentas, dua gelanggang untuk permainan futsa atau bola keranjang serta enam gelanggang badminton.

Malah, beliau memberitahu, SPA turut menyediakan 491 parkir kereta, parkir bas (7) dan tempat letak motosikal (77).

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada PDC yang telah menggunakan kepakaran dalamannya, melalui anak syarikatnya sendiri iaitu PDC Consultancy Sdn. Bhd. untuk merekabentuk projek Seberang Perai Arena ini,” ujar Guan Eng.} else {