‘Stesen Angkasa-X’ libat pelaburan RM30 juta, jangka siap hujung tahun

Admin
GIMIK majlis pecah tanah projek Angkasa-X yang disempurnakan oleh TYT dan barisan pemimpin negeri lain di USM Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal menjelang tengah hari tadi.

SUNGAI ACHEH – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sendiri menyempurnakan acara perasmian majlis pecah tanah Stesen Bumi dan Pusat Senibina Teknologi Angkasa Negeri Angkasa-X di perkarangan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal di sini pada 19 Mei 2022.

“Saya menyifatkan pembinaan ini adalah sangat signifikan,” katanya semasa ucapan perasmian di universiti awam berkenaan.

TYT menandatangan plak projek Angkasa-X sambil disaksikan oleh Ketua Menteri dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain di sini tadi.

Sebagaimana dihasratkan oleh TYT, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam ucapannya sebelum itu turut berharap pembinaan pusat baharu tersebut akan mendorong lebih banyak syarikat multinasional untuk melengkapi rantaian bekalan dalam sektor domestik berkaitan pada peringkat global.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengulangi perkara yang diucapkan oleh TYT dalam Sidang Kemuncak Masa Depan Pulau Pinang pada tahun lepas iaitu kehadiran syarikat-syarikat multinasional ke sini akan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global, (seterusnya) petunjuk serta memainkan peranan penting terutamanya dalam pengeluaran produk berasaskan elektrik dan elektrik (E&E).

“Saya juga amat berbesar hati melihat pihak Angkasa-X, USM dan (agensi negeri) Digital Pulau Pinang yang begitu aktif memacu kehadiran gelombang pelaburan strategik baharu dalam Ekonomi Teknologi Angkasa (Lepas),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong di majlis berkaitan.

KETUA Menteri menyampaikan ucapan dalam majlis berkaitan tadi.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memaklumkan bahawa eksport Pulau Pinang yang didominasi produk E&E melonjak 14 peratus sepanjang tahun 2021, dengan pencapaian keseluruhan kira-kira RM354 bilion (sekali gus) menjadikan penyumbang eksport paling tinggi kepada negara.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq dan Pengerusi Eksekutif Angkasa-X Innovation Sdn. Bhd., Dr. Sean Seah turut berucap pada majlis bersejarah tersebut.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari, Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik yang juga ‘ADUN Angkat’ bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad dan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Shuhaily Mohd. Zain antara pemimpin negeri yang menyertai majlis tersebut.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Dr. Sean Seah memberitahu bahawa projek pembinaan stesen bumi dan pusat teknologi angkasa negeri di USM berkenaan melibatkan pelaburan kira-kira RM30 juta.

“Kita jangka projek ini siap pada hujung tahun ini (2022).

“Tujuan pembinaan stesen bumi ini adalah untuk terima data dari satelit…apabila satelit ada di angkasa, isyarat akan dihantar ke (stesen) bumi,” ujarnya.

Apabila dua kemudahan tersebut telah siap kelak, beliau menyatakan bahawa ia akan membantu semua pihak berkaitan membangunkan aplikasi data raya bagi tujuan memantau kualiti udara serta pengurusan banjir atau bencana.

“Dengan adanya dua fasiliti ini, ia turut akan menjadi pusat R&D (penyelidikan dan pembangunan) bagi USM di negeri (Pulau Pinang) ini khususnya, juga Malaysia secara umum.

“Ini kerana, apabila satelit mula diaktifkan di sana (angkasa) kelak, kita (Angkasa-X dan USM) boleh membangunkan aplikasi berkaitan bagi memenuhi industri teknologi angkasa lepas berkaitan,” ulasnya.

Pengarah Eksekutif Angkasa-X Holdings Corp., Dr. William Lim turut menjelaskan mengenai rancangan pemajuan projek berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR