Strategi pelan pemulihan sektor pelancongan negeri perlu dipersiapkan sekarang

Admin

SEKTOR pelancongan terutamanya industri perhotelan menerima tamparan hebat impak daripada pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak hujung tahun 2019.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, 2.0 dan 3.0 pula memberikan kesan maksimum kepada industri perhotelan negara serta menjejaskan banyak perniagaan dan industri berkaitannya.

Ada yang sudah menutup operasi dan ada sebilangannya masih mampu bertahan dengan melaksanakan pelbagai alternatif bagi meneruskan kelangsungan perniagaan, tidak terkecuali buat Hotel Grand Orient di kawasan Perai, di sini.

Bagi Pengurus Hotel Grand Orient, JAMES CHANG, kemungkinan industri perhotelan yang suram kini terpaksa menunggu sehingga hujung tahun ini untuk mendapatkan sinar baharu.

Ini sepertimana yang terkandung dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini bahawa sektor pelancongan domestik hanya dijangka beroperasi pada fasa keempat (November dan Disember) apabila kes jangkitan COVID-19 dapat dikurangkan.

Menurut James, pihak Kerajaan Negeri khususnya Pejabat Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACH) diharap telah bersedia dengan rangka pelan pemulihan hala tuju sektor pelancongan negeri yang dijangka dapat dibuka hujung tahun ini.

Katanya, pendekatan atau pelan untuk menghidupkan semula industri pelancongan yang terjejas ekoran penularan COVID-19 perlu disediakan sekarang untuk memacu semula industri ini.

“Kerajaan Negeri melalui PETACH perlu merangka strategi perniagaan sebelum sektor pelancongan boleh dibenar beroperasi semula.

“(Kerana) jika kita buat promosi sekarang pun tiada makna, tiada siapa akan membeli. Masa terbaik untuk melaksanakan pelan pemulihan adalah sejurus sahaja tamat PKP ini ataupun sektor pelancongan kembali dibuka, justeru kita (Pulau Pinang) mesti mempunyai pelan tindakan segera untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan domestik.

“Dalam tempoh tersebut juga (persediaan pembukaan sektor pelancongan), Kerajaan Negeri juga mestilah memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini berjaya termasuk inisiatif Program Imunisasi Covid-19 untuk Kelestarian Industri Pelancongan (PIKIP) yang dicadangkan Exco Pelancongan dan Industri Kreatif diharap dapat dimulakan segera,” ujarnya pada sesi wawancara khas di sini semalam.

Dalam pada itu, bagi pihak Hotel Grand Orient sendiri mereka sedaya upaya cuba meneruskan kelangsungan perniagaan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif dan alternatif perlu bagi meneruskan kelangsungan perjalanan pengurusan serta kebajikan pekerja hotel berkenaan kekal terjaga.

“Penutupan untuk penginapan hotel (Grand Orient) bermula pada bulan Mac 2020 ketika pelaksanaan PKP1.0 dan berterusan tutup atau buka mengikut arahan kerajaan sehinggalah hari ini.

“Sebagaimana semua ketahui, industri perhotelan bergantung kepada penginapan sepenuhnya, justeru dalam tempoh ini untuk memastikan kita tidak rugi besar adalah terpaksa melaksanakan beberapa inisiatif meskipun tidaklah menguntungkan tetapi mampu bertahan.

“Apa yang kita lakukan adalah dengan menjalinkan kolaborasi dengan beberapa syarikat korporat tempatan dengan menawarkan pakej harga istimewa.

“Malah, pihak Grand Orient menggalakkan kakitangan di sektor korporat ataupun sektor perlu (essentials) yang dibenarkan beroperasi untuk datang dan menginap di hotel ini dengan tawaran pakej harga istimewa,” ujarnya.

Bagi memastikan tetamu benar-benar berpuas hati dengan tahap keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) ketika menginap di hotel berkenaan, James memaklumkan bahawa Hotel Grand Orient mengambil beberapa langkah khas dengan mengetatkan SOP sedia ada.

Jelasnya, perkara itu penting kerana kebanyakan syarikat korporat amat mementingkan SOP untuk memastikan semua kakitangannya berada dalam persekitaran yang sihat dan tidak terdedah dengan wabak.

“Pihak Grand Orient telah mengetatkan SOP sedia ada dengan melakukan sanitasi bilik sejurus sahaja tetamu daftar keluar (check out) dan prosedur untuk menerima tatamu (check in) juga dilakukan dengan ketat bagi mengekang terjadinya penularan wabak di sini.

“Di samping itu, sejak hotel ini dibangunkan dahulu, kita sememangnya telah membangunkan mesin pengudaraan dalaman hotel di mana setiap satu jam udara di kawasan lobi dan koridor hotel yang dilengkapi penghawa dingin akan disegarkan semula menggunakan sistem khas ini.

“Hotel Grand Orient juga telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan, ini akan menyakinkan lagi tetamu yang ingin bertandang dan menginap di sini,” tambah beliau.

Dalam pada itu, inisiatif Grand Orient dalam menjaga kebajikan dengan mengekalkan semua kakitangan hotel berkenaan juga wajar dipuji tatkala segelintir pihak lain gusar akan kehilangan pekerjaan pada waktu mencabar kini.

Menurut James, hotel berkenaan mempunyai kira-kira 20 kakitangan tetap.

“Setakat ini kita belum melakukan pembuangan pekerja kerana sedar mereka juga memerlukan pendapatan, tambahan dengan Program Subsidi Upah yang disediakan oleh Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) maka ada beberapa syarat perlu diikuti, dan (kita) berupaya untuk mengekalkan pekerja tetap.

“Cuma bagi mengurangkan kos operasi, kami mengambil pendekatan menamatkan kontrak syarikat pekerja luar seperti pegawai keselamatan dan pekerja pembersihan.

“Malah, tempoh penutupan operasi ketika PKP ini kami mengambil peluang untuk meningkatkan produktiviti perkhidmatan pelanggan dan cara menyelesaikan masalah teknikal kepada para pekerja… seperti mengadakan kursus meningkatkan kemahiran kepada mereka,”seloroh beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING