Subsidi rawatan dialisis RM1.8 juta KN, pesakit terpilih dapat rawatan murah

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.8 juta peruntukan subsidi supaya pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan boleh mendapatkan rawatan berkala dengan kos lebih murah bagi setiap sesi rawatan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, dengan peruntukan lebih RM1.8 juta bagi kerjasama selama tiga tahun sehingga 2018, diharap lebih ramai penduduk kurang berkemampuan terutamanya di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dapat menikmati manfaat rawatan dialisis pada harga yang amat berpatutan.

“Pesakit-pesakit di bawah program dialisis Kerajaan Negeri hanya perlu membayar di antara RM95 sehingga RM157 setiap seorang, (namun) pesakit akan diberikan subsidi RM30 bagi setiap rawatan di pusat ini.

“Kedua-dua pusat dialisis ini turut menerima pesakit daripada semua lapisan masyarakat, termasuk muslim dan bukan Islam, tanpa mengira warna kulit.

“Asalkan mereka layak, mereka tanpa mengira faham politik boleh terus mendapatkan rawatan di kedua-dua pusat rawatan ini,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Subsidi Rawatan Dialisis antara Kerajaan Negeri dengan (Kerjasama Sektor Kerajaan-Swasta) Pusat Haemodialisis Masjid At-Taqwa di SPU dan MAA Medicare Dialysis Centre, SPT.

Kerajaan Negeri diwakili Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait, dengan Pengerusi Pusat Haemodialisis Masjid At-Taqwa, Datuk Ir. Zakiyyudin Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MAA Medicare Dialysis Centre, Datuk Nur ‘Aliyah Karen Abdullah.

Turut menyaksikan majlis memeterai MoU tersebut, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) serta Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti).

Daripada RM1.8 juta peruntukan tersebut, Guan Eng memberitahu, Pusat Haemodialisis Masjid AtTaqwa akan menerima tambahan lima mesin dialisis yang keseluruhan bernilai RM222,500, selain bantuan kos utiliti bagi kegunaan pusat dialisis dan pengangkutan pesakit terpilih.

Dengan sumbangan itu, tambahnya, pusat dialisis tersebut dalam sebulan mampu merawat maksimum 44 pesakit, berbanding 24 orang sebelum ini. Manakala MAA Medicare Dialysis Centre pula, jelas beliau, menerima gantian lapan mesin dialisis serta subsidi bagi nephrologist dan pengurusan sisa klinikal.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut merakamkan penghargaan kepada syarikat B. Braun yang menaja lima mesin dialisis dan sebuah mesin dialyser reprocessor berharga RM262,500 untuk diletakkan di Pusat Dialisis CAT Balik Pulau.

“Kerajaan Negeri berbelanja sebanyak RM287,383.50 sehingga Januari 2016 bagi Pusat Dialisis CAT Balik Pulau, yang mula beroperasi pada tahun 2014…kos pengubahsuaian sahaja hampir RM1 juta.

“Pusat Dialisis CAT Balik Pulau kini mempunyai 11 mesin dialisis dan dua mesin dialyser reprocessor, dan mempunyai 44 orang pesakit, setiap kali rawatan kos maksimum adalah RM30.

“Kerajaan Negeri berharap lebih banyak lagi syarikat korporat akan tampil seperti B. Braun, dengan menaja pusat-pusat dialisis, bagi menawarkan perkhidmatan rawatan dialisis pada harga subsidi,” ujar beliau.