Warta Hutan Simpan Ulu Muda demi 4 juta rakyat utara Semenanjung

Admin

SUNGAI DUA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sekali lagi menggesa Kerajaan Pusat supaya segera menunaikan janjinya memajukan Cadangan Skim Bekalan Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) serta membiayai kos projek itu yang dianggarkan sebanyak RM2 bilion.

Tegasnya, Kerajaan Negeri tidak boleh selama-lamanya bergantung pada sumber air mentah tunggal dari terusan Sungai Muda, serta perlu sumber alternatif dari sungai negeri Perak.

“Sungguhpun tidak memihak pada Kerajaan Negeri (Pulau Pinang), tetapi Kerajaan Negeri juga menandatangani Perjanjian Penstrukturan Air Semula supaya Projek (Penarafan) Empangan Air Mengkuang dapat dimulakan dengan lebih cepat.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu hanya bergantung kepada Sungai Muda, kita mahu bergantung dengan satu lagi sumber air mentah, iaitu dari Sungai Perak supaya jaminan bekalan air ini bukan sahaja untuk Pulau Pinang, juga untuk Perak,” katanya pada Majlis Pembukaan Pakej 12 Loji Rawatan Air (LRA) terbesar negara di sini baru-baru ini.

Bercakap pada sidang media sama, Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa sekali lagi menggesa Kerajaan Pusat supaya mengharamkan aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air, serta mewartakan kawasan Hutan Simpan Ulu Muda dekat negeri Kedah.

“Kita telah tegaskan isu ini banyak kali, Malaysia telahpun menandatangani ‘Rio Protocol’ (dan) Kabinet (Kerajaan Persekutuan) telahpun menggazet kawasan tadahan di Kedah, apa telah berlaku sekarang.

“Kita bukan cuba mempolitikkan isu ini, kita bercakap mengenai nasib empat juta rakyat (di utara Semenanjung Malaysia) tanpa mengira kaum, agama, gender mahupun (sempadan) kenegerian.

“Kalau sungai semulajadi di Eropah membekalkan air kepada 27 negara, tiada manamana pihak bercakap bahawa satu pihak lain perlu membayar sesuatu bayaran.

“Tetapi, mereka ada suatu jawatankuasa bersama yang saling memberi komitmen bahawa kuantiti serta kualiti air (mentah) senantiasa dijamin untuk semua (27 negara Eropah terbabit),” ujarnya.

Selain itu, Jaseni pada Mesyuarat Agung Tahunan Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB) baru-baru ini turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kedah wajar mewartakan kawasan tadahan Hutan Simpan Ulu Muda terlebih dahulu sebelum menuntut pampasan dari Putrajaya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tuntutan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanapiah yang menuntut pampasan berwajib jika mahu aktiviti pembalakan di Ulu Muda dihentikan serta-merta.

Difahamkan, 80 peratus air mentah ke Pulau Pinang sehingga kini bergantung pada sumber Sungai Muda di dalam sempadan negeri ini. Manakala, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2011 lalu menandatangani surat perjanjian berwajib dengan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) supaya Projek Pemindahan Tadahan Hujan Perak-Pulau Pinang (Sungai Perak-Sungai Ijok-Sungai Kerian) segera dibuat.

Ketika itu, Guan Eng menegaskan perjanjian dengan Kerajaan Pusat penting demi memastikan negeri ini tidak akan menghadapi risiko kemungkinan kekurangan air selepas tahun 2020 kelak.