Sudut Sisa Sifar mudah, murah dan praktikal

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

PERMATANG PASIR –Bagi meningkatkan kesedaran warga luar bandar terhadap konsep sisa sifar dan kepentingan pengasingan sampah sarap, Sudut Sisa Sifar (Zero Waste Corner) di bawah kelolaan Penang Green Council (PGC) telah dilaksanakan di Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kubang Semang/Sungai Semambu baru-baru ini di sini.

Pengimplementasian projek tersebut adalah susulan daripada beberapa Sudut Sisa Sifar yang dilancarkan sebelum ini di bawah Program Kampungku/Komunitiku, Bersih dan Hijau.

SAMSUDDIN Yacob (tengah) dan Siti Noriza (kanan) memasukkan kertas ke dalam tong kitar semula kertas sebagai gimik pelancaran Sudut Sisa Sifar di JKKK Kubang Semang/Sungai Semambu baru-baru ini di sini.
SAMSUDDIN Yacob (tengah) dan Siti Noriza (kanan) memasukkan kertas ke dalam tong kitar
semula kertas sebagai gimik pelancaran Sudut Sisa Sifar di JKKK Kubang Semang/Sungai Semambu baru-baru ini di sini.

Penghulu Permatang Pasir, Samsuddin Yacob yang hadir semasa pelancaran projek berkata , sudut tersebut menggunakan konsep mudah, murah dan praktikal untuk diamalkan.

“Beberapa tong yang dilabel telah disediakan untuk mengitar semula bahan-bahan seperti botol minuman air mineral, tin aluminium , kotak , sisa elektronik , botol kaca, suratkhabar serta bahan bacaan.

“Projek ini tidak memakan kos berpuluh-puluh ribu ringgit, apa yang diperlukan hanyalah satu sudut dewan dan tujuh buah tong besar,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Sudut Sisa Sifar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar PGC, Thing Siew Shuen, wakil Timbalan Ketua Menteri I, Ibnuataillah Hashim dan Pengerusi JKKK, Siti Noriza.

Samsuddin memberitahu bahawa hasil jualan barang kitar semula tersebut akan digunakan untuk program-program masyarakat setempat.

 Bahan-bahan yang telah dikumpulkan akan dijual kepada syarikat kitar semula dan wang yang diperoleh akan disalurkan ke dalam tabung JKKK yang akan digunakan untuk kebajikan masyarakat atau komuniti setempat,” ujarnya.