‘Perbahasan PM dan Ketua Pembangkang yang patut diadakan’ – KM

Admin
CHUA Soi Lek (kanan) menyampaikan pendapatnya sambil diberi perhatian oleh Lim Guan Eng (kiri) dalam Debat 2.0 : DAP dan MCA: Dasar Mana Siapakah Yang Lebih Memberi Manfaat Kepada Negara? anjuran Asli di sini baru-baru ini.
CHUA Soi Lek (kanan) menyampaikan pendapatnya sambil diberi perhatian oleh Lim Guan Eng
(kiri) dalam Debat 2.0 : DAP dan MCA: Dasar Mana Siapakah Yang Lebih Memberi Manfaat Kepada
Negara? anjuran Asli di sini baru-baru ini.

Liputan: Yap Lee Ying, Zainulfaqar Yaacob dan Watawa Nataf Zulkifli

Gambar: Law Suun Ting dan Mohd. Hafiz Tajuddin

SELANGORHasrat kerajaan pusat untuk menswastakan Pelabuhan Pulau Pinang kepada pihak ketiga disifatkan sebagai usaha pelanunan kepentingan rakyat di negeri berkenaan, kata Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab dalam sesi Debat 2.0 ‘DAP dan MCA: Dasar Mana Siapakah Yang Lebih Memberi Manfaat Kepada Negara?’ sepentas dengan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek pada 8 Julai lepas.

Bagi Guan Eng, rekod urus tadbir Soi Lek selaku Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dalam memajukan pelabuhan tersebut cukup mengecewakan.

Itu, tidak termasuk pembabitan Soi Lek bersama-sama kerajaan pusat berhasrat untuk menswastakan pelabuhan itu kepada Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd. yang dikuasai oleh jutawan industri, Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary.

“Saya rasa sungguh kecewa pencapaian rakan saya (Soi Lek). Mengapa? Tiada pencapaian (cemerlang) langsung.

“Bagaimana kita (rakyat Pulau Pinang) boleh membenarkan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan komersial boleh dikurangkan (diturun taraf) menjadi pelabuhan persinggahan?.

“Jika mahu warga Pulau Pinang menerima penswastaan ini, (hasrat kerajaan pusat) ini sebenarnya bukan penswastaan. Tetapi, ini ‘piratisation’ (penlanunan),” kata Guan Eng dalam debat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Piramid, Shah Alam, di sini.

Debat kali kedua ini dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Michael Yeoh sendiri menjadi moderator debat antara dua tokoh ahli politik Cina berkenaan.

Bagi beliau, kerajaan pusat bukan sahaja memberi layanan dingin dalam isu penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang, malah, dalam isu menaik taraf prasarana Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga.

“Adakah Menteri Pengangkutan telah menjalankan tugasnya untuk memastikan semua lapangan terbang dan pelabuhan kita diuruskan dengan baik?

“Mengapa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang telah tiga kali dilewatkan pembinaannya?

“Mengapa Pelabuhan Pulau Pinang mahu diturunkan taraf kepada pelabuhan pengantara sahaja dan diswastakan pula pihak ketiga yang akan memangsakan rakyat di negeri Pulau Pinang?

“Mengapa tidak ada rundingan dengan rakyat di Pulau Pinang,” tanya Guan Eng.

Soi Lek dalam reaksi spontan selepas itu cuba memperkecil prospek Pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk berperanan sebagai destinasi Malaysia – Antarabangsa.

“Kadangkala sangat sukar untuk memberi respons kepada rakyat (bahawa) penswastaan ini tiada apa-apa.

“Tiada kapal terbang antarabangsa daripada London datang ke (Lapangan Terbang Antarabangsa) Pulau Pinang kerana ia adalah lapangan terbang serantau, bukan lapangan terbang antarabangsa,” tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut meluahkan harapan rata-rata rakyat Malaysia untuk menyaksikan perdebatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia) mengenai dasar-dasar utama membabitkan kepentingan rakyat serta negara.

“Kita berkumpul di sini untuk menentukan dasar parti manakah yang lebih boleh memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

“Seharusnya, satu perbahasan patut diadakan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malangnya Perdana Menteri enggan berbahas dengan Anwar.

“Adakah Najib enggan berbahas dengan Anwar kerana beliau bimbang selepas perbahasan, rakyat akan membuat pernilaian bahawa Anwar lebih layak menjadi Perdana Menteri Malaysia,” soal beliau di depan kira-kira 1,000 hadirin dari pelbagai latar belakang politik yang hadir.