Sukan ‘wall climbing’ bakal dipromosikan kepada pelajar sekolah rendah

Admin

SUNGAI PINANG – Sukan ‘wall climbing’ mungkin masih baharu di Pulau Pinang, namun dengan usaha pembangunan yang jitu, ia mampu mencetuskan minat golongan pelajar peringkat rendah.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, pihaknya berminat untuk mempromosikan sukan tersebut dalam kalangan pelajar sekolah rendah menjelang tahun hadapan.

“Di bawah portfolio Belia dan Sukan, saya merancang untuk mengetengahkan aktiviti sukan wall climbing ini kepada pelajar sekolah rendah terutamanya pelajar berumur 10 tahun ke bawah, menerusi Program Sports For All.

“Sukan wall climbing ini bukan sahaja memerlukan fokus dan kekuatan mental yang tinggi, tetapi fizikal, ketangkasan, ketahanan dan teknik yang betul mampu menarik peminatnya tersendiri,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke HangOut Climbing Gym dekat Jelutong di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua dan pengasas bersama HangOut Climbing Gym iaitu Dr. Ooi Ben Shyen dan Ooi Boon Shin.

Semasa lawatan tersebut, Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal tidak melepaskan peluang untuk mencabar diri dan meningkatkan daya adrenalinnya dengan memanjat tembok.

Aktiviti wall climbing atau panjat tembok pada dasarnya adalah sukan yang menjadi antara aktiviti mainstream kegemaran ramai.

Menurut Ben Shyen, HangOut Climbing Gym tersebut merupakan cawangan kedua berkonsepkan ‘bouldering’, manakala cawangan pertamanya yang terletak di Bukit Gambir pula berkonsepkan ‘top rope’.

Jelasnya, meskipun terpaksa menangguhkan pembukaan HangOut Climbing Gym sejak Mac lalu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kini pusat kecergasan tersebut mendapat sambutan luar biasa pada hari pertama pembukaannya semalam.

“Kami melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, di mana kita melakukan pensanitasi tembok sekerap yang mungkin, ia adalah persekitaran yang sihat untuk semua orang datang ke sini,” ujarnya yang juga merupakan doktor perubatan di Jabatan Kecemasan KPJ Penang Specialist Hospital.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS