SUKMA 2026: Akur kepada Perak, semangat juang skuad wanita Pulau Pinang dipuji

Admin
9d026e96 e7a0 4e85 954f 2e9549300d2e GAMBAR dua pemain skuad bola sepak wanita Pulau Pinang Bawah 21 Tahun (U21) sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 gigih menggempur benteng pertahanan akhir Perak semasa aksi perlawanan yang berlangsung di Stadium Perbandaran Hulu Selangor di sini pada malam semalam (13 Ogos 2026).

HULU SELANGOR, SELANGOR — Skuad bola sepak wanita Pulau Pinang terpaksa akur dengan keunggulan barisan pemain Perak yang lebih berpengalaman selepas tewas 0-4 dalam aksi saingan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Stadium Majlis Perbandaran Hulu Selangor, malam semalam.

Meskipun gawang Pulau Pinang bolos susulan asakan bertubi-tubi pasukan lawan, barisan pemain muda negeri tetap memperlihatkan semangat juang tinggi dan kegigihan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Perak tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila sepakan kencang dari luar petak penalti oleh penyerang jersi nombor 10, Norli Rosli, gagal ditepis keluar penjaga gol Pulau Pinang, Natrah Amani Nordin, pada minit keempat perlawanan.

Sebelum pengadil, Jazzryne Ameira Anak Valentine, meniup wisel penamat separuh masa pertama, Perak menggandakan kelebihan menerusi sentuhan pemain pertahanan jersi nombor 3, Nur Aliya Izzati Shamsudin, dari dalam kawasan penalti.

0402ff90 6232 4f4e a24b 8e0f89a52ac7
K.S. Gobiraj

Ketinggalan dua gol tidak sedikit pun mematahkan semangat anak buah Ketua Jurulatih Pulau Pinang, K.S. Gobiraj, untuk bangkit pada separuh masa kedua.

Namun, ketika Pulau Pinang cuba mengatur rentak permainan, pemain tengah Perak, Nurul Zarin Saffiya Daman Huri (jersi nombor 12), memanfaatkan sepakan penjuru rakan sepasukan untuk menjaringkan gol ketiga pada minit ke-60.

Ira Maisara Nazrul Adam kemudian melengkapkan kemenangan selesa Perak menerusi jaringan keempat pada minit ke-88.

Walaupun diberikan masa tambahan empat minit, usaha kapten Pulau Pinang, Nur Aqila Qalesya Mohd. Azrol, bersama-sama rakan sepasukan untuk memecah benteng pertahanan lawan tidak membuahkan hasil.

Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan, Gobiraj menganggap kekalahan tersebut sebagai proses pembelajaran berharga buat skuad Bawah 21 Tahun (U21) negeri yang kebanyakannya dibarisi pemain muda berusia antara 16 hingga 18 tahun.

“Skuad bola sepak wanita Pulau Pinang tidak pernah bermain dalam kejohanan sebesar ini.

“Ia memberi banyak kelebihan kepada Perak yang mempunyai pendedahan dan pengalaman untuk mendominasi saingan,” kata Gobiraj kepada Buletin Mutiara.

Beliau turut menegaskan bahawa kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memperkukuh program pembangunan bakat pada masa hadapan, selain menekankan keperluan menyertai lebih banyak kejohanan luar bagi mengasah bakat pemain muda.

b50a1e42 e788 469d 9abd 3a89d2912280
ROSIDI Saleh

Sementara itu, Jurulatih dan Penyelaras Sukan Bola Sepak Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Rosidi Saleh, optimis dengan potensi pasukan dan memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan para pemain.

“Rata-rata pemain kita berusia 16 dan 17 tahun serta kurang pendedahan perlawanan berbanding Perak yang kerap bertanding di Lembah Klang.

“Jika program pembangunan diperkasa dan disusun dengan elok, ‘hasil tuaian’ bakat ini akan dapat dilihat dalam SUKMA 2028 kelak,” jelas Rosidi.

8b3fea1e 23f5 4322 88aa da085315ba99
HARRY Chai Heng Hua (berdiri, tengah) dengan turut meluangkan masa dengan memberi motivasi dan kata-kata semangat kepada pemain skuad bola sepak wanita Pulau Pinang U21 sesuai tamat perlawanan menentang Perak, sambil diperhatikan sekalian barisan pemimpin negeri lain di sini semalam.

Perlawanan berkenaan turut disaksikan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri, Daniel Gooi Zi Sen; Chef de Mission Kontinjen Negeri, Joseph Ng Soon Siang; Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua; dan Pegawai Belia dan Sukan MSNPP, Mohd. Fadil Mohamad.

Skuad Pulau Pinang kini mengalihkan fokus untuk memperbaiki mutu persembahan menjelang aksi seterusnya menentang Pahang bagi memperbaiki kedudukan dalam carta saingan peringkat kumpulan.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAR RADZI