SUKMA 2026: Skuad kriket Pulau Pinang tekad tebus kekalahan, lupakan duka dibenam Johor

Admin
img 6528 SKUAD kriket lelaki Pulau Pinang beraksi menentang Johor pada saingan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Oval Lumba Kuda Selangor, Seri Kembangan, Selangor, pada 13 Ogos 2026.

SERI KEMBANGAN, SELANGOR – Skuad kriket lelaki T50 Pulau Pinang perlu segera bangkit dan mencari semula rentak permainan terbaik menjelang aksi penentuan menentang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur esok bagi memperbaiki kedudukan semasa dalam carta saingan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Pengurus Pasukan Kriket Pulau Pinang, Avtar Singh a/l Attar Singh berkata demikian selepas Pulau Pinang mengalami kekalahan pahit kepada Johor dengan kelebihan tujuh wiket dalam acara T50 yang berlangsung di Oval Lumba Kuda Selangor di sini, hari ini.

Tanpa berselindung, beliau mengakui aksi yang dipamerkan barisan pemainnya masih boleh diperbaiki, sungguhpun mereka kurang pengalaman bersaing pada peringkat kebangsaan.

img 6527
AVTAR Singh a/l Attar Singh

“Pulau Pinang sekadar mencatatkan 58 larian dan Johor berjaya melepasi sasaran tersebut dengan hanya kehilangan tiga wiket, biarpun pasukan Johor mempunyai kelebihan menerusi barisan pemain remaja kebangsaan.

“Aksi Pulau Pinang hari ini agak menghampakan kerana mereka gagal beraksi pada tahap yang dijangkakan,” jelas beliau kepada Buletin Mutiara.

Beliau walau bagaimanapun tetap menyuntik semangat baharu dan berharap para pemain dapat melupakan duka kekalahan tersebut serta memberikan fokus sepenuhnya kepada aksi seterusnya.

“Pulau Pinang akan turun berdepan Wilayah Persekutuan esok dengan harapan tinggi agar para pemain dapat meningkatkan kualiti persembahan masing-masing,” katanya lagi.

Kekalahan pahit yang ditempuhi petang ini hadir selepas permulaan cemerlang skuad Pulau Pinang pada 11 Ogos lalu apabila mereka membuka kempen SUKMA 2026 dengan penuh bergaya selepas menundukkan Sabah dengan kelebihan 46 larian dalam aksi pembukaan.

Dalam perlawanan sulung itu, Pulau Pinang mempamerkan penguasaan menyeluruh menerusi aksi mantap dalam aspek memukul, membaling dan memadang apabila mengumpul 191 larian berbanding Sabah yang sekadar mencatatkan 145 larian.

Berbekalkan dua perlawanan yang ditempuhi setakat ini, Avtar Singh berkata, beliau bersama-sama Ketua Jurulatih Kriket Negeri, Bazeegh Zaka, dan Penolong Jurulatih Negeri, Ahmad Adzim Yahaya, akan berusaha membantu para pemain mencari rentak pada perlawanan yang dijadualkan esok.

Dalam perkembangan berkaitan, Avtar Singh berkata, barisan pemain negeri sedar bahawa bukan mudah untuk mengharungi saingan kejohanan pada kali ini, namun mereka tetap bertekad memberikan saingan sengit dalam perlawanan seterusnya demi memastikan kempen T50 ini sekurang-kurangnya membuahkan hasil terbaik, dengan meletakkan sasaran pingat gangsa sebagai hadiah buat Pulau Pinang.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI