TANJUNG BUNGA – Skuad lawan pedang Pulau Pinang menerima suntikan semangat khas menjelang Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 Selangor 2026 menerusi sumbangan insentif tambahan sebanyak RM5,000 bagi membakar semangat atlet membawa pulang pingat buat negeri.

Chef de Mission Kontinjen Negeri, Joseph Ng Soon Siang berkata, insentif berkenaan disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen yang juga bertindak sebagai ‘bapa angkat’ bagi acara sukan berkenaan.
“Pada 1 Ogos lepas, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow telahpun mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menawarkan insentif sehingga RM10,000 bagi setiap pemenang pingat emas sekiranya sasaran 60 pingat emas atau lebih berjaya dicapai dalam SUKMA Ke-22 Selangor 2026.
“Pada petang ini, ADUN Bagan Jermal selaku ‘bapa angkat’ sukan lawan pedang turut hadir bagi menyampaikan sumbangan insentif sebanyak RM5,000 yang mana saya yakin akan meningkatkan lagi motivasi para atlet negeri untuk memburu pingat dalam SUKMA 2026 nanti,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke arena sukan lawan pedang di Fencing Zone dekat sini bagi meninjau secara dekat persiapan akhir para atlet negeri sebelum temasya dwitahunan nasional itu membuka tirainya minggu depan.

Sementara itu, Jurulatih Negeri, Ivy Cheah Hsiao Yong yang ditemui kemudian berharap agar skuad kendaliannya mampu merealisasikan sasaran dua pingat emas seperti yang disasarkan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).
“Kita sasar dua (pingat) emas termasuk daripada Surayya Rizzal (iaitu pemenang pingat emas acara foil wanita SUKMA 2024 di Eastwood Valley Golf Club, Miri, Sarawak),” jelasnya.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI