ANPR rekod hingga 10,000 kesalahan parkir sebulan di Pulau Tikus, George Town

Admin
whatsapp image 2026 08 07 at 3.12.53 pm (1)

GEORGE TOWN – Teknologi Pengecaman Plat Nombor Automatik (ANPR) yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak April tahun lalu berjaya merekodkan purata antara 7,000 hingga 10,000 kesalahan parkir setiap bulan, sekali gus memperkukuh usaha penguatkuasaan parkir secara lebih cekap dan sistematik.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata, penggunaan teknologi itu amat signifikan memandangkan MBPP menyelia hampir 20,000 petak parkir di seluruh kawasan pulau, selain membantu meningkatkan kecekapan operasi tanpa memerlukan pertambahan anggota penguat kuasa yang besar serta kos operasi yang tinggi.

“Kita melihat bahawa teknologi ANPR yang dilancarkan pada 24 April tahun lalu merupakan satu langkah ke arah memperkukuh kecekapan penguatkuasaan parkir melalui pendigitalan perkhidmatan, selaras dengan aspirasi bandar pintar di negeri ini.

“Sepanjang pelaksanaannya, secara purata antara 7,000 hingga 10,000 kesalahan meletakkan kenderaan di parkir seliaan MBPP direkodkan setiap bulan, dengan kawasan Pulau Tikus serta pusat bandar George Town dikenal pasti sebagai lokasi yang kerap berlaku kesalahan.

“Penggunaan teknologi ANPR ini juga merupakan evolusi kaedah penguatkuasaan parkir yang sebelum ini bermula dengan pemeriksaan kupon secara manual, kemudian menggunakan peranti mudah alih (handheld) dan kini beralih kepada teknologi kamera yang mampu mengimbas nombor pendaftaran kenderaan dengan lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan demonstrasi penggunaan kenderaan penguat kuasa MBPP yang dilengkapi teknologi ANPR di Dewan Bandaran, Jalan Padang Kota Lama, di sini hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan ANPR merupakan sebahagian daripada pembangunan sistem Penang Smart Parking (PSP) yang dicadangkan menerusi proses Request for Proposal (RFP) bagi memperkasa pengurusan parkir di kawasan pulau.

“Sebelum digunakan secara operasi, teknologi ini telah melalui tempoh pembangunan, ujian dan penyesuaian selama beberapa tahun bagi memastikan kamera serta sistem yang digunakan benar-benar memenuhi keperluan penguatkuasaan di lapangan.

“MBPP mempunyai dua unit kenderaan elektrik (EV) yang digunakan bagi tujuan ANPR dan meskipun begitu, kuasa penguatkuasaan tidak berubah.

“Sebaliknya, hanya kaedah semakan dipertingkat agar lebih moden, efisien dan berkesan.

“Selain meningkatkan produktiviti, pendekatan ini juga dilihat mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta amalan tadbir urus yang lebih mampan,” jelasnya.

Rajendran turut menjelaskan bahawa setiap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan menerusi ANPR tetap tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan semakan oleh anggota penguat kuasa sebelum sebarang notis tawaran kompaun dikeluarkan.

“Sistem berkenaan hanya membantu mengesan dan memaparkan status parkir sesebuah kenderaan, manakala setiap rekod akan disemak terlebih dahulu oleh anggota penguat kuasa yang diberi kuasa sebelum sebarang notis tawaran kompaun dikeluarkan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Anggota penguat kuasa yang berpakaian seragam masih mengendalikan kenderaan dan sistem ANPR ini, justeru, tanggapan bahawa ANPR merupakan satu bentuk ‘undang-undang baharu’ adalah tidak tepat.

“Teknologi ini hanyalah alat sokongan untuk mengurangkan kesilapan, mempercepat semakan, meningkatkan ketepatan rekod serta memperkukuh kecekapan operasi penguatkuasaan,” tegasnya.

Terdahulu, Rajendran turut meninjau demonstrasi penggunaan teknologi ANPR pada dua buah kenderaan elektrik MBPP yang digunakan bagi operasi penguatkuasaan parkir di seluruh kawasan pulau.

Oleh: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: SIEW CHIA EN