SUKMA 2026: Tiga jaguh Muay Thai Pulau Pinang mara ke final, buru emas sulung hari ini

img 6797 MUHAMMAD Hakimi Nordin (biru) menentang pencabar dari Melaka, Muhammad Khairul Ikhwan Md. Din dileraikan pengadil semasa aksi saingan separuh akhir bagi kategori bawah 60 kilogram (-60kg), SUKMA 2026 Selangor di sini semalam.

KLANG, SELANGOR – Skuad Muay Thai Pulau Pinang kini bersedia menggalas misi penting untuk membawa pulang pingat emas sulung dalam acara berkenaan pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 hari ini, selepas tiga atlet lelaki negeri berjaya menempah tiket ke saingan akhir.

Kejayaan menempah slot perlawanan akhir itu menyusul selepas ketiga-tiga petarung berkenaan mempamerkan aksi dominan dengan menundukkan lawan masing-masing pada peringkat separuh akhir di KSL Esplanade Mall, petang semalam.

Membuka tirai kemenangan, Muhammad Hakimi Nordin mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir bagi kategori bawah 60 kilogram (kg) selepas mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan ayam tambatan Melaka, Muhammad Khairul Ikhwan Md. Din, menerusi keputusan mata 34-12.

Trend kemenangan itu diteruskan oleh Muhammad Faris Aiman Salimi dalam kategori 63.5kg apabila menguasai gelanggang dengan menewaskan pencabar dari Johor, Muhammad Danish Zulkifli, 21-14.

Melengkapkan hari cemerlang Pulau Pinang, Mohamad Amirul Hakim Shairil Rizal yang bertanding dalam kategori 71kg menumbangkan petarung Sabah, Kerry Dryan Jafili, dengan keputusan mata 32-15.

img 6786
AHMAD Basri Mohd. Bukhari

Pencapaian memberangsangkan itu menyaksikan Ketua Jurulatih Muay Thai Pulau Pinang, Ahmad Basri Mohd. Bukhari, tidak dapat menahan air mata kegembiraan atas kerja keras dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya sepanjang kejohanan.

Beliau menjelaskan bahawa ketiga-tiga kategori berkenaan sememangnya menjadi sasaran utama pingat buat kontinjen negeri, hasil perancangan dan program pembangunan bakat berfokus yang telah dilaksanakan sejak menjelang SUKMA 2024 di Sarawak lagi.

“Alhamdulillah, atlet-atlet yang mara ke perlawanan final hari ini adalah atlet yang telah kita jalani program pembangunan bakat sejak SUKMA edisi lepas lagi.

“Jadi, untuk SUKMA 2026 Selangor ini, kita memang sasar mereka untuk membawa pulang pingat emas pertama untuk Pulau Pinang dalam sukan Muay Thai,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara.

Tiga aksi final penuh tumpuan itu dijadualkan berlangsung hari ini bagi menentukan keupayaan skuad Pulau Pinang merealisasikan sasaran pingat emas berkenaan seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MIKAIL ONG (MSNPP)