SUKMA: Optimis atlet Pulau Pinang pamer aksi cemerlang

GEORGE TOWN – Kontinjen Pulau Pinang bakal menampilkan barisan atlet terbaik pada penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang bakal berlangsung pada 16 hingga 24 September ini di Kuala Lumpur.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), HARRY CHAI HENG HUA optimis bahawa kontinjen Pulau Pinang dapat mempamerkan aksi memberangsangkan sekali gus mencapai sasaran pingat yang ditetapkan dalam temasya dwitahunan itu pada edisi kali ini.

Harry Chai Heng Hua.

“Atlet yang kita bawa untuk bertanding pada SUKMA kali ini adalah mereka yang betul-betul mencapai kriteria-kriteria yang ditetapkan terutamanya dari segi stamina dan tahap kecergasan.

“Selain itu, mereka juga perlu mencapai tahap yang ditentukan oleh MNSPP… sebagai contoh bagi atlet pecut, mereka perlu mencapai tempoh larian yang kita tetapkan sebelum disenaraikan untuk mengambil bahagian dalam SUKMA Kuala Lumpur.

“Bagi atlet atau acara sukan yang gagal mencapai tahap yang kita mahukan, kita mengambil keputusan menggugurkan mereka daripada menyertai kejohanan ini.

“Ini kerana kita mahu pastikan hanya atlet yang benar-benar layak sahaja akan mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini agar sasaran pingat ditetapkan mampu dicapai,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi sebentar tadi.

Heng Hua berkata, persediaan atlet-atlet bagi kontinjen Pulau Pinang ketika ini berada pada tahap 95 peratus.

“Baki lima peratus lagi adalah kita dalam fasa untuk sediakan atlet pada peringkat akhir bagi menyuntik semangat mereka supaya dapat mempamerkan prestasi memberangsangkan di SUKMA nanti,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun katanya, kontinjen Pulau Pinang turut berdepan dengan beberapa cabaran dalam tempoh dua tahun lalu berikutan isu pandemik COVID-19

“Tarikh penganjuran SUKMA yang berubah-ubah dan pembatalan SUKMA 2020 sedikit sebanyak menjadi cabaran dan kekangan buat atlet-atlet yang kita sediakan.

“Dalam tempoh ini, ada di antara atlet-atlet kita yang sudah melepasi had umur ditetapkan selain akan melanjutkan pengajian di luar negara dan telah memasuki alam pekerjaan.

“Keadaan ini menyebabkan beberapa percaturan baru perlu dilaksanakan yang mana kita terpaksa menyesuaikan pasukan dengan membawa masuk atlet-atlet baru,” ujarnya sambil menambah bahawa acara sukan tempur, sukan bereket dan sukan individu antara yang diharapkan mampu menyumbang pingat buat Pulau Pinang pada edisi kali ini.

Rindiana Rosli Raju.

Turut melahirkan perasaan optimis terhadap prestasi skuad Pulau Pinang, RINDIANA ROSLI RAJU, 16, berkata bahawa kontinjen Pulau Pinang diyakini mampu mengulangi pencapaian cemerlang sebagaimana pada penganjuran SUKMA pada tahun 2000.

“Pulau Pinang mempunyai barisan atlet yang hebat dalam beberapa acara seperti sepak takraw, judo, skuasy, badminton, olahraga dan lain-lain lagi yang mana kebanyakannya telah menyumbangkan beberapa pingat pada kejohanan sebelum ini.

“Oleh itu, kita amat yakin bahawa mereka mampu mengulangi prestasi cemerlang ini dan membawa pulang jumlah sasaran pingat yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui.

Norfarhana Mohd. Izani.

NORFARHANA MOHD. IZANI, 25, pula berharap agar atlet-atlet Pulau Pinang dapat menunjukkan aksi memberangsangkan selain menampilkan semangat kesukanan yang tinggi dalam temasya SUKMA kali ini.

“Diharapkan atlet-atlet kita dapat menggunakan peluang ini untuk menonjolkan prestasi cemerlang meraka dan sekali gus menjadikan SUKMA sebagai platform untuk mereka bertanding pada peringkat lebih tinggi.

“Bagi atlet yang gagal menyumbangkan pingat pada kejohanan sebelum ini, mereka masih berpeluang menebus kekecewaan itu dengan berusaha meraih pingat yang disasarkan,” katanya.

Dalam pada itu, K. BAKIRATHAN, 20, yakin bahawa kontinjen Pulau Pinang mampu mengutip pingat emas sebagaimana yang disasarkan dan sekurang-kurangnya berada pada kedudukan tiga terbaik dalam kalangan pasukan yang bertanding.

K. Bakirathan.

“Pulau Pinang perlu fokus kepada acara sukan yang mana atletnya sudah membuat persiapan rapi lebih awal kerana kita tidak mahu pemilihan atlet hanya sebagai pelengkap sahaja.

“Sebaliknya kita mahu atlet yang menyertai kejohanan kali ini adalah mereka yang benar-benar mampu menyumbangkan pingat buat kontinjen negeri,” katanya dengan penuh harapan.

DHARCHAYINI, 21, pula melahirkan perasaan teruja terhadap penganjuran SUKMA kali ini selepas dua tahun tertangguh akibat penularan pandemik COVID-19.

Dharchayini.

“Saya harap atlet-atlet Pulau Pinang dapat memberikan persembahan terbaik dan merangkul seberapa banyak pingat emas pada kejohanan kali ini,” ujarnya ringkas.

Difahamkan, sebanyak 31 jenis sukan dan 445 acara bakal dipertandingkan dalam temasya SUKMA Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF