SUKMA2022 : Koh Ann Yi menang perak, skuad olahraga Pulau Pinang kumpul lapan pingat termasuk dua emas

Admin
KOH Ann Yi

 

PUCHONG, SELANGOR – Atlet negeri Pulau Pinang, Koh Ann Yi yang menghimpunkan 4,370 mata terkumpul bagi acara heptatlon berjaya memenangi pingat perak dalam saingan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 September 2022.

Atlet Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Eng May Xin Winnie yang memenangi pingat emas bagi acara tersebut mengumpul 4,913 mata, sementara pingat gangsa menjadi milik atlet negeri Perak, ‘Nur Syazira’ (3,856).

Dua ahli majlis pengurusan bagi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) Ong Beng Soon dan M.V. Jayanandhan turut menyertai majlis penyampaian pingat dan anak patung ‘Oyen’ (maskot Sukan Malaysia, SUKMA) kepada para pemenang.

Buletin Mutiara difahamkan, heptatlon adalah pertandingan untuk peserta wanita yang merangkumi tujuh acara iaitu 110 meter (m) lari berpagar, lontar peluru, lompat tinggi, lari 200m dan 800m, lompat jauh serta merejam lembing.

Dalam perkembangan berkaitan, turut diumumkan bahawa negeri Pulau Pinang berada pada kedudukan kelapan terbaik dengan jumlah pingat terkumpul bagi sukan olahraga sahaja sebanyak lapan pingat iaitu dua emas, tiga perak dan tiga gangsa.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB