Sumbangan beras untuk penduduk memerlukan

ASNAH HASHIM (kiri) menyampaikan sekampit beras kepada salah seorang penerima sumbangan di bawah program al-It’am di Teluk Kumbar di sini baru-baru ini
ASNAH HASHIM (kiri) menyampaikan sekampit beras kepada salah seorang penerima sumbangan di bawah program al-It’am di Teluk Kumbar di sini baru-baru ini

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN LEPASDalam kesibukan menyambut Aidilfitri baru-baru ini, penduduk sekitar Teluk Kumbar yang kurang bernasib baik mampu tersenyum riang apabila menerima sumbangan beras daripada Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bayan Lepas, Asnah Hashim di sini.

Program al-It’am atau sumbangan beras merupakan program bulanan bantuan beras dan makanan asasi kepada penduduk di dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang kurang bernasib baik terutama mereka yang fakir dan miskin.

Menurut Asnah, program tersebut bukan sahaja mendapat kerjasama penuh daripada semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) KADUN Bayan Lepas, malah, turut mendapat sambutan baik daripada penerima-penerima sumbangan.

“Program seumpama ini bukan sahaja menggalakkan kita mengingati mereka yang kurang bernasib baik, pada masa sama, juga mampu melahirkan rasa perikemanusiaan dan saling bantu-membantu antara insan,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Tambah Asnah, pelaksanaan program al-It’am yang diadakan baru-baru ini memberi kesempatan kepada beliau untuk beramah mesra dan saling kenal mengenali antara penduduk.

“Alhamdulillah, program tersebut berjalan lancar,” ujar beliau yang turut berterima kasih kepada JKKK sekitar Teluk Kumbar yang turut serta bersama menyampaikan sumbangan baru-baru ini.