Sumbangan berterusan cermin Kerajaan Negeri sokong perkembangan bidang hafazan – Exco

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BERTAM – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim mahu lebih ramai huffaz al-Quran menyertai pasaran kerjaya profesional dan tidak hanya terikat dengan bidang keagamaan sematamata.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah dan Penyampaian Sumbangan Kepada Para Hafiz di Masjid
Abdullah Fahim, Kepala Batas di sini baru-baru ini.

” Kita (Kerajaan Negeri) mahu menggalakkan golongan huffaz al-Quran mampu ‘dilahirkan’ sebagai seorang jurutera, doktor, cendekiawan dan lain-lain kepakaran profesional.

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) amat sarankan agar mereka ini (huffaz al-Quran profesional) mampu menabur bakti kepada masyarakat dan negara sekaligus menjadi role model dan teladan kepada generasi akan datang,” ujarnya pada majlis berkaitan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; SetiausahaKerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Dato’ Sazali Hussein.

Menurut Abdul Malik, sejak skim sumbangan kepada para huffaz al-Quran diperkenalkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 2008, sebanyak RM1,462,490 dibelanjakan dalam usaha menjadikan hafazan al-Quran bidang yang berdaya saing.

Malah, tambahnya, dana sumbangan tersebut saban tahun meningkat seiring dengan peningkatan jumlah para huffaz alQuran di Pulau Pinang, dan adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk melihat matlamat ‘Satu Rumah, Satu Hafiz’ dapat direalisasikan.

Difahamkan, pada 2008, seramai 103 hafiz menerima sumbangan berkaitan, 137 (2009), 180 (2010), 260 (2011), 350 (2012), 405 (2013), 470 (2014), 520 (2015), 541 (2016) dan 600 (2017) melibatkan dana berjumlah RM300,000.

“Sumbangan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri menyokong perkembangan bidang hafazan, dan idea sumbangan ini telah dicadangkan oleh Ketua Menteri pada 2008 yang begitu kagum dengan kemampuan para huffaz al-Quran menghafal 30 juzuk alQuran,” ujarnya pada majlis yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkenaan.

Abdul Malik dalam pada itu turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bersama-sama pengetua-pengetua tahfiz seluruh negeri telah bermesyuarat bagi membincangkan mengenai soal keselamatan di premis tahfiz.

“Perbincangan tersebut termasuklah cadangan penubuhan bomba sukarela di institusi tahfiz itu sendiri.

“(Dan) perbincangan akan diteruskan pada masa hadapan bagi mencari solusi terbaik,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, sebanyak lima penyampaian anugerah diadakan iaitu Anugerah Tokoh Al-Hafiz, Anugerah AlHafiz Termuda, Anugerah Guru Al-Hafiz, Anugerah Keluarga Al-Hafiz dan Anugerah Tahfiz Terbaik.

Bagi penerima, ALIF DANIEL MOHAMED ALFIE, 12, dari Maahad Tahfiz Al-Quran Sijarul Quran, tiada apa yang
dapat digambarkan dengan kata-kata kegembiraannya apabila merangkul Anugerah Al-Hafiz Termuda, setelah berjaya menghafaz al-Quran dalam tempoh dua tahun setengah.

“Saya seronok dapat penganugerahan ini… untuk mempercepatkan hafazan, beberapa perkara perlu dititikberatkan iaitu tumpuan, jaga pemakanan, adab, istiqomah dan teruskan berdoa,” jelasnya.

Bagi Anugerah Tokoh Al-Hafiz 2017, ia berjaya disandang Pegawai Hal Ehwal JHEAIPP, MOHAMAD ZAKI ABDUL HALIM.

“Saya berharap mereka ini turut menyertai dunia teknokrat selain al-Quran tersemat di dada.

“Dari situlah mereka lebih boleh berbakti kepada masyarakat dan menjadi tenaga kerja dalam industri.

“Saya turut memuji usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memberikan pengiktirafan kepada para huffaz al-Quran sekali gus membuka mata masyarakat akan bidang ini dan tidak memandang huffaz ini terikat dengan agama semata-mata,” ulas
beliau.

Antara penerima anugerah lain ialah Muhammad Mu’az Mohd. Noor (Anugerah Al-Hafiz Termuda 2); Mohd. Yusof Abdul Mutalib (Anugerah Guru Al-Hafiz); Che Sulong Mat (Anugerah Keluarga Al-Hafiz) dan Tahfiz Al-Quran Darus Syaribiyyah Kampung Tasek Junjung, Bukit Mertajam ditabalkan sebagai Tahfiz Terbaik