GEORGE TOWN – Memasuki Ramadan ke-17, ia membawa rezeki kepada 200 asnaf sekitar sini apabila menerima bantuan barangan keperluan harian dan duit raya sumbangan Maliia Bakery.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di premis dekat Jalan Transfer di sini sebentar tadi.
“Ini merupakan satu usaha murni syarikat (Maliia Bakery) untuk salurkan bantuan kepada golongan memerlukan di samping tunaikan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat.
“Saya percaya sedikit sebanyak bantuan ini dapat meringankan beban para penerima dalam menyempurnakan ibadah di bulan Ramadan ini dan juga bagi menanti ketibaan Syawal,” ujarnya seusai majlis penyampaian berkaitan.
Hadir sama, Pengarah Syarikat Maliia Bakery, Dato’ G. Mariadass.
Menjawab mengenai sambutan berbuka puasa di negeri ini, Kon Yeow menyatakan bahawa sambutan rakyat adalah meriah dan menggalakkan.
“Selain majlis berbuka puasa, banyak pertubuhan turut mengambil kesempatan untuk mengedarkan bantuan yang boleh dimanfaatkan.
“Cuma kadang kala saya terima lebih daripada satu jemputan dalam satu hari dan diadakan secara serentak.
“Keutamaan memang di kawasan yang saya jadi wakil rakyat, namun saya juga mewakili seluruh negeri Pulau Pinang, jadi adalah menjadi harapan dapat hadir pada majlis berbuka puasa di setiap daerah supaya dapat bersama-sama merahmahi rakyat dalam bulan mulia ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT