Sumbangan Kerajaan Negeri tingkat hasil pertanian negeri

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

LAW Choo Kiang (depan, kanan sekali) berjabat tangan dengan salah seorang penerima Program Penyampaian Input Pertanian kepada Petani Daerah SPU 2012 di sini baru-baru ini. Turut kelihatan adalah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man (berbaju batik, perang).
LAW Choo Kiang (depan, kanan sekali) berjabat tangan dengan salah seorang penerima Program Penyampaian Input Pertanian kepada Petani Daerah SPU 2012 di sini baru-baru ini. Turut kelihatan adalah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Permatang Pasir, Datuk Mohd.Salleh Man (berbaju batik, perang).

SEBERANG PERAI UTARA – Atas usaha Kerajaan Negeri dan Jabatan Pertanian Negeri (JPN) dalam mempergiat dan meningkatkan hasil pengeluaran pertanian, bantuan pinjaman peralatan pertanian ladang telah disampaikan kepada para petani tempatan melalui Program Penyampaian Input Pertanian kepada Petani Daerah Seberang Perai Utara (SPU) 2012 di sini baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang, penyampaian sumbangan tersebut adalah untuk melaksanakan transformasi teknologi pertanian sebagai salah satu inisiatif meningkatkan hasil pengeluaran pertanian negeri.

“Ini adalah ekoran pertambahan populasi dan peningkatan pendapatan per kapita Pulau Pinang yang telah menyebabkan peningkatan permintaan terhadap hasil pertanian berasaskan makanan,’’ katanya pada Program Penyampaian Input Pertanian Kepada Daerah SPU di sini.

Dalam program yang sama, Choo Kiang hadir menyampaikan peralatan jentera pertanian berjumlah RM118,668 iaitu masing-masing empat unit ‘power tiller’, ‘mini garden tiller’, pam air, ‘plastic silvershine’ dan pelbagai jenis baja yang akan memanfaatkan 21 projek pertanian di daerah SPU kepada ketua-ketua kelompok kawasan.

Selain bantuan peralatan dan input pertanian, pelbagai bentuk program dan latihan juga telah dirancang oleh JPN berdasarkan peruntukkan yang disalurkan Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, katanya, JPN juga telah mewujudkan Sistem Pengembangan Teknologi Pertanian (SPTP) di mana Agen Pengembangan Kawasan akan mengadakan lawatan dan tinjauan setiap dua minggu untuk memantau masalah yang dihadapi para peladang dan petani.

“Sejajar dengan matlamat tersebut, Kerajaan Negeri turut menggalakkan para petani menyertai Skim Amalan Ladang Malaysia (SALM) untuk mendapat bimbingan dalam penghasilan pertanian.

“Mulai 2012, Kerajaan Negeri melalui JPN akan memberi bantuan khusus kepada peserta yang menyertai SLAM dan Skim Organik Malaysia (SOM).” jelas beliau.