Sumbangan mesin beras sebagai inisiatif tingkatkan pendapatan pesawah

Admin

SEBERANG JAYA – Prihatin terhadap nasib pesawah yang semakin terbeban ekoran peningkatan kos sara hidup, Kerajaan Negeri PulauPinang melalui Jabatan Pertanian Negeri telah menyumbangkan sebuah mesin beras untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan berkaitan.

Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin berkata, dengan adanya mesin beras tersebut, para petani dapat memproses sendiri padi sehingga menjadi beras yang tersedia untuk dimasak selain menggalakkan budaya keusahawanan dalam kelompok pesawah padi.

“Ini adalah mesin beras pertama yang Kerajaan Negeri sediakan di Pulau Pinang dan pada tahun ini, Koperasi Kerjaya Permatang Nibong telah dipilih sebagai kawasan pertama yang akan menjayakan program pemprosesan beras sendiri ini.

“Konsep ini sebenarnya telah diguna pakai di beberapa negara seperti Jepun dan China yang mana komuniti setempat mengumpul dana dan menyediakan mesin ini,” ujarnya semasa merasmikan Hari Ladang Peringkat Kawasan Khidmat Seberang Perai Tengah (SPT) 1 bersama-sama Koperasi Kerjaya Permatang Nibong di Tapak Baru Koperasi Kerjaya Permatang Nibong di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Koperasi Kerjaya Permatang Nibong Pulau Pinang Berhad, Rosli Ishak; Pegawai Pertanian Daerah SPT, Mohd. Reduan Ahmad; pegawai Jabatan Pertanian Pulau Pinang; Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) serta para pesawah.

Afif menjelaskan, sekiranya projek berkenaan berjaya dilaksanakan, maka Kerajaan Negeri akan menambah lagi bilangan mesin beras dalam kelompok-kelompok pertanian padi lain di negeri ini.

“Diharapkan dengan adanya mesin ini, pesawah di Permatang Nibong mampu menghasilkan beras sendiri untuk dipasarkan kepada umum,” jelasnya.

Selain itu, Afif memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan bagi Pembangunan Industri Tanaman Padi di Kawasan Padi Seberang Perai Tengah (SPT) sebanyak RM80,468.40 dalam bentuk input-input pertanian seperti racun serangga dan racun tikus.

“Sebagai makluman, padi merupakan tanaman memerlukan kawalan perosak bersepadu antara kelompok yang dilaksanakan bagi mencapai hasil optimum.

“Selain itu juga, semangat kekitaan dan kemasyarakatan dapat dipupuk apabila aktiviti ini dijalankan secara bersama-sama.” katanya.