Pembangunan projek RMM Dua Residensi, Teluk Kumbar dilaksana ikut jadual – Exco

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BAYAN LEPAS – Projek Perumahan Mampu Milik Dua Residensi dekat Teluk Kumbar kini sudah mencapai 76 peratus siap dan pembinaan 346 unit rumah adalah dilaksana mengikut jadual ditetapkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, secara umumnya, struktur bangunan telah siap sepenuhnya, hanya kerja-kerja finishing di dalam bangunan sedang dilaksanakan kini.

“Perkembangan projek kini mengikut jadual ditetapkan dan diharap ia mampu siap sepenuhnya pada bulan Ogos nanti,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ringkas ke tapak projek bagi memantau pelaksanaan kerja-kerja rumah mampu milik (RMM) seliaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, wakil-wakil PDC, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Menurut Jagdeep, daripada 18 projek RMM yang sedang dilaksanakan, satu daripadanya iaitu Bandar Cassia di Batu Kawan yang telah siap sepenuhnya dan kini sedang menunggu kelulusan strata.

“Di kawasan Seberang (Perai), iaitu projek RMM Bandar Cassia telah siap dan ia akan disusuli dengan projek ini (Dua Residensi) di bahagian pulau.

“Ini adalah bukti kukuh menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sememangnya berusaha menyediakan RMM kepada rakyatnya sekaligus menangkis tuduhan jahat bahawa kita tidak membina RMM di Pulau Pinang,” tegasnya sambil menyatakan bahawa 18 projek tersebut adalah merangkumi 27,306 unit yang kini di pelbagai peringkat pemajuan.

Malah, menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri bersama-sama pihak swasta juga akan membangunkan sejumlah 75,361 unit kos rendah (KR), kos sederhana rendah (KSR) dan rumah mampu milik.

“Sejumlah 25,555 unit telah dibina dan diserahkan kepada mereka yang layak memilikinya.

“Manakala, di dalam proses pembinaan membabitkan 19,828 unit dan telah diluluskan untuk pembinaan (29,978) menjadikan keseluruhannya sebanyak 75,361 unit,” jelasnya.