Sumbangan pokok malar hijau sahut seruan KN – Maktar

SUNGAI BAKAP – Dalam usaha menyahut seruan Kerajaan Negeri ke arah sebuah negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap baru-baru ini menyampaikan sumbangan pokok malar hijau kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Bakap di sini.

Majlis disempurnakan oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

Menurut ADUNnya, Maktar Shapee, inisiatif menyumbang tumbahan malar hijau ini adalah sebahagian inisiatif ke arah mewujudkan negeri hijau.

“Kita bukan sahaja menggalakkan JKKK kita untuk mengamalkan sikap hijau, malah melalui pemberian sumbangan ini, orang awam akan lebih sedar akan peri pentingnya menjaga alam sekitar.

“Kesedaran inilah harus sentiasa dipupuk agar ianya boleh dijadikan amalan dan tabiat,” jelas Maktar sejurus selepas penyampaian pokok pada Program Pemberian Pokok kepada JKKK DUN Sungai Bakap di perkarangan Surau al-Falah dekat Taman Putri Gunung baru- baru ini.