Keluarga Che Siah dapat perhatian PPK

PINANG TUNGGAL – Kesempitan hidup Che Siah Desa, 52 sekeluarga mendapat perhatian Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pinang Tunggal, Muhasdey Muhamad baru-baru ini.

Bukan sahaja suaminya tidak mempunyai pendapatan tetap, malah nasib ibu kepada empat orang cahaya mata ini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila sebahagian kaki kiri Che Siah terpaksa dipotong akibat kencing manis.

Menurut Muhasdey, beliau bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kubang Menerong dan Ahli Jawatankuasa Qaryah Masjid Kubang Menerong sempat menziarahi Che Siah di kediamannya di sini.

Selain menyampaikan sumbangan hamper yang berupakan makanan asas harian, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung Che Siah sekeluarga.

“InshaAllah, bagi pihak saya, kami akan cuba membantu keluarga Che Siah dan usahakan sama ada melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Jawatankuasa Kemiskinan Daerah Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut,” ujar Muhasdey.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga Che Siah, boleh menghubungi Muhasdey melalui talian 019-437 2887 atau emelkan kepada [email protected] untuk sebarang pertanyaan.