Sumbangan RM1,000 – Janji dikotai

SITI Fauziah Mohd. Noor (kanan sekali) menitiskan air mata apabila meluahkan perasaan terharunya kepada Ketua Menteri pada majlis Penyampaian Sumbangan RM1,000 Pengurusan Jenazah di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.
SITI Fauziah Mohd. Noor (kanan sekali) menitiskan air mata apabila meluahkan perasaan terharunya kepada Ketua Menteri pada majlis Penyampaian Sumbangan RM1,000 Pengurusan Jenazah di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – “Encik buat yang betul. Seperti bapa Encik, apa yang dijanjikan mesti dia kotakan. Apa yang bapa buat, mesti anak juga ikut,’’ begitulah luahan Siti Fauziah Mohd. Noor sambil memegang erat tangan Ketua Menteri ketika kali pertama bertemu beliau pada awal tahun ini.

Siti Fauziah, 46, memberitahu, apabila beliau menyatakan sedemikian kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hanya mengangguk sambil tersenyum. Tambah beliau, ketika itu, Ketua Menteri menghadiri majlis pelancaran Program Miskin Tegar berhampiran kawasan perumahan beliau di Sungai Pinang dan Program Penghargaan Warga Emas masih belum dilancarkan.

Beberapa bulan kemudian, apabila terdengar bahawa terdapat satu lagi program bagi membantu golongan susah iaitu Program Penghargaan Warga Emas dilancarkan, saya berasa begitu bersyukur dan yakin dengan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat yang sentiasa mengotakan janji,’’ katanya ketika ditemui SUARA CAT di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, pada tahun 1982, bapa Ketua Menteri, Lim Kit Siang telah mengotakan janji kepada keluarga Siti Fauziah iaitu untuk mendapatkan sebuah rumah kos rendah di Taman Sri Damai, Batu Lanchang.

Ketika itu, Kit Siang bertanding kerusi Tanjung. Sebelum pilihan raya, beliau telah berjanji kepada ayah bahawa beliau akan mendapatkan sebuah rumah kos rendah bagi kami lapan beranak. Selepas pilihan raya, apabila ayah menemui beliau semula, tanpa berfikir dua kali, janji tersebut terus ditunaikan. Semenjak itu, saya memang yakin dengan kepimpinan dua beranak ini,’’ jelas beliau.

Mengulas mengenai wang pemberian pengurusan jenazah bernilai RM1,000, Siti Fauziah menyatakan bahawa hanya sebuah Kerajaan yang prihatin sahaja sanggup menyumbangkan wang sedemikian kepada rakyat.

RM1,000 memang cukup untuk membiayai kos pengebumian bagi orang Islam. Ini termasuk bayaran untuk mengangkat jenazah dan lain-lain perbelanjaan tambahan.

Wang RM1,000 yang diterima daripada Ketua Menteri telah digunakan untuk upacara khatam Quran 30 juzuk kepada mak pada bulan Ramadan lalu. Sebagai tambahan, kami sekeluarga juga bercadang menggunakan sebahagian daripada wang tersebut untuk membuat batu nisan,’’ ujarnya sambil menjelaskan bahawa ibunya, Allahyarham Aishah Nor, 71, meninggal dunia selepas dua minggu dimasukkan ke hospital ekoran penyakit jantung.

Malah, pada majlis penyerahan RM1,000 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri di Dewan Sungai Pinang pada 31 Ogos lalu, Siti Fauziah yang merupakan seorang pekerja swasta turut memperoleh perhatian daripada Y.A.B dan pihak media apabila beliau menitiskan air mata ketika menerima sumbangan berkenaan.

LOW Yew Keong.
LOW Yew Keong.

Dalam pada itu, bagi Loh Yew Keong, 47, yang kehilangan ibunya pada Mei lalu menyatakan bahawa wang RM1,000 yang diterima beliau dapat digunakan untuk menampung keperluan keluarganya selepas beliau tidak dapat bekerja ekoran kejadian kemalangan dua bulan lalu.

Ekoran tiada modal untuk membuka bengkel sendiri, saya bekerja sebagai mekanik bergerak. Sejak dua bulan lalu, saya terpaksa menggunakan kerusi roda ekoran kecederaan pada bahagian kaki. Sejak itu, isteri dan anak saya tiada tempat bergantung. Mujurlah, ada wang RM1,000 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri yang sedikit sebanyak dapat digunakan untuk perbelanjaan seharian,’’ jelas Yew Keong.

Sebagai seorang yang makan pagi kais pagi, makan petang kais petang, Yew Keong bersyukur dengan sikap sebuah Kerajaan yang prihatin rakyat.

Sementara itu, Pekerja Am Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), M. Murugiah, 42, berkata, wang RM1,000 yang diterima beliau masih disimpan bagi kegunaan upacara sembahyang mendiang ibunya, M. Nelwathi kelak.

M. Murugiah.
M. Murugiah.

Ibu saya meninggal dunia dua minggu sebelum pemberian wang sumbangan RM100 diagihkan. Walau bagaimanapun, atas nasihat ADUN Air Itam, saya telah mengambil wang RM100 bagi pihaknya. Pada masa sama, YB turut menyatakan bahawa saya juga layak menerima RM1,000 yang bakal diedarkan di dalam tempoh terdekat.

Sebelum itu, ibu pernah bertanyakan kepada saya sama ada Kerajaan Negeri betul-betul akan memberikan sumbangan RM100 kepadanya. Malah, beliau telah merancang untuk menggunakan wang tersebut untuk belanja sembilan anak serta cucu-cucunya makan besar,’’ ujar Murugiah kepada SUARA CAT.

Tambah beliau, pemberian RM1,000 baginya adalah sesuatu yang amat bermakna dan besar ertinya. Malah, beliau bersyukur kerana Pulau Pinang diperintah oleh sebuah Kerajaan berjiwa rakyat yang dengar suara rakyat, buat kerja rakyat dan beri harapan kepada rakyat.