Makcik Nur – boleh letak perabut rumah tanpa risau hujan lebat

KETUA Menteri bersalam-salaman dengan anak-anak Makcik Nur sambil ditemani pasangan tersebut bersempena lawatan beliau di sini.
KETUA Menteri bersalam-salaman dengan anak-anak Makcik Nur sambil ditemani pasangan tersebut bersempena lawatan beliau di sini.

AIR PUTIH – Nekad Ketua Menteri untuk membaiki sebuah rumah usang dalam tempoh lima hari telah memberi sinar harapan baru kepada lapan sekeluarga kurang berkemampuan di Jalan Lintang, Air Itam di sini.

Menerusi kerja-kerja pengubahsuaian yang menelan kos berjumlah RM6,500, penghuni, Aziz Sidek, 79 dan Nurliah Mat Lope, 77, atau lebih dikenali sebagai Makcik Nur bersama enam anak mereka dapat hidup dengan lebih selesa.

Makcik Nur yang mengidap penyakit kencing manis dan telah dipotong sebelah kaki berkata, kerja-kerja pembaikian membabitkan bumbung dan dinding rumah yang disewa bersama suaminya kira-kira 50 tahun lalu menjadikan keadaan rumah mereka kini lebih selesa.

Dulu, ketika Pak Aziz masih sihat, dia boleh panjat ke atas bumbung untuk menampal lubang bocor. Tapi semenjak dia tak nampak sebab penyakit katarak, kami tidak mampu mengupah orang untuk membaiki atau mengubahsuai rumah ini.

Kalau hujan, kena guna payung dan timba untuk tadah tempat-tempat yang bocor, kalau tidak, basah satu rumah. Tapi, sekarang, kami boleh letak perabut tanpa risau hujan lebat,’’ kata Makcik Nur sambil bersyukur dengan bantuan yang diterima di sini baru-baru ini.

Bersempena itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut mengadakan lawatan ke rumah Makcik Nur bagi meninjau keadaan rumah yang telah siap diubahsuai.

KETUA Menteri meninjau keadaan rumah Makcik Nur yang telah siap dibaiki di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri meninjau keadaan rumah Makcik Nur yang telah siap dibaiki di sini baru-baru ini.

Pada April lalu, Ketua Menteri turut menyumbangkan dua buah kerusi roda bagi memudahkan pergerakan pasangan yang dikurniakan lima cahaya mata yang masing-masing berusia 12, 11, 9, 5, 4 tahun. Pada masa sama, pasangan tersebut turut mempunyai dua anak angkat yang berusia dalam lingkungan 30 tahun (seorang anak angkat masih menetap bersama mereka manakala seorang lagi telah berkahwin dan menetap di Sabah).

Walaupun Ketua Menteri pernah mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada pasangan terbabit sebelum ini, namun, Makcik Nur dan Aziz tidak mengetahui status sebenar Y.A.B.. Sebaliknya, tanpa menghiraukan kesusahan yang dialaminya, dengan menggunakan kekuatan tangan, beliau mengesok ke dapur sambil bertanyakan sama ada Y.A.B. ingin minum kopi. Namun, Y.A.B. menolak tawaran tersebut bagi menghormati bulan Ramadan.

Taukey itu, dia baik jugak noh? Sanggup tolong orang miskin,’’ begitulah luahan Makcik Nur apabila SUARA CAT bertanyakan perasaan beliau bersempena dengan lawatan Ketua Menteri di kediamannya.

Kini, Makcik Nur dan Aziz memperoleh bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan ; bantuan sekolah anak-anak, RM450. Jumlah perbelanjaan bulanan mereka adalah RM250 iaitu elektrik (RM90) ; air (RM60) ; sewa rumah (RM100). Baki bagi lain-lain perbelanjaan adalah RM500.