Sumbangan RM10,000 khas demi kebajikan anak-anak di PCCC

Admin

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan peruntukan berjumlah RM10,000 khas untuk rumah kebajikan kanak-kanak, Peace Children Care Centre (PCCC).

 

Menurut beliau, sumbangan tersebut diharapkan dapat dirasai khasnya oleh kanak-kanak di pusat berkaitan.

 

“Saya berharap anak-anak di PCCC dapat merasai curahan kasih sayang yang diberikan ini khas untuk kebajikan mereka.

 

“Pusat ini dibuka pada Julai 2020, walaupun bukan lama, saya berharap pusat ini akan memainkan peranan penting sebagai tempat perlindungan kepada anak yatim yang memerlukan perlindungan sewajarnya.

 

“Ianya bukan kerja senang, sebaliknya penuh cabaran dan isu kekangan adalah perlu ditangani bersama,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Ibu Bersama-sama PCCC dekat Persiaran Pantai Jerejak di sini malam tadi.

Hadir sama, Presiden Al Ehsan Malaysia, Datuk Seri Muhammad Rizwan Sulaiman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Barkath Sdn. Bhd., Datuk Seri Barkath Ali; Pengerusi Persatuan Kemajuan Wanita Pulau Pinang (PERJUANITA), Patimah Kader dan Pengerusi PCCC, A. Alagesan.

 

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sedaya upaya akan mengisi isu-isu berbangkit yang disuarakan rakyat menerusi keputusan kajian mengenai pencapaian pembangunan serta pelaburan di Pulau Pinang kelak.

 

“Rakyat prihatin terhadap isu-isu berkaitan ekoran ramai yang terjejas akibat COVID-19, dan berharap pembangunan di Pulau Pinang boleh membawa manfaat kepada golongan berpendapatan rendah khasnya.

 

“Ini kerana, cabaran hidup kini adalah pelbagai, terutamanya cabaran ekonomi serta pandemik yang juga belum reda sepenuhnya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS