Sumbangan ZPP penuhi tuntutan asnaf

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI DUA – Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima zakat korporat daripada syarikat kawalan piawaian Sirim Qas International Sdn. Bhd. (Sirim) berjumlah RM130,648.85 dan Agro Bank sebanyak RM57,950.34.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man berkata, majlis itu diadakan serentak dengan Majlis Penyerahan Wang Zakat Bantuan Permulaan Ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) IPT/ Persekolahan kepada 302 penerima terpilih yang berjumlah RM263,000.

“Setiap tahun, jutaan ringgit wang zakat telah dibelanjakan menerusi sekurang-kurangnya lima asnaf (iaitu) fakir, miskin, muallaf, fisabilillah dan ibnus sabil, untuk maksud pendidikan,” ujarnya di Dewan Besar Sungai Dua baru-baru ini.

Sirim diwakili Eksekutif Pelatih, Ahmad Safuan Ujar, manakala, Agro Bank, Pengurus Rantau Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Mardziah Sulaiman.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MAINPP, Fadzil Kimi dan Rosidi Hussain (Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap Ahli Majlis bagi MAINPP).

Mohd. Salleh berkata, kutipan zakat semasa berjumlah RM62.8 juta walaupun ZPP mensasarkan pungutan sebanyak RM75 juta bagi tahun ini.

Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir turut menyempurnakan majlis penyerahan saguhati tahunan pengurusan qaryah masjid negeri Pulau Pinang berjumlah RM315,200.

Beliau turut menyampaikan alat bantuan berupa kaki palsu, tangan palsu, alat pendengaran, Ankle Foot Orthosis, Suction Pump dan alat penafasan kepada penerima terpilih.