KN tunai manifesto sumbangan pukat nelayan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & AHMAD ADIL MUHAMAD

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri melalui Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menunaikan salah satu menifesto Pilihanraya Umum Ke-13 lalu melalui sumbangan pukat kepada 2,981 nelayan seluruh negeri ini.

Walaupun berlangsung dalam majlis ringkas, rata-rata nelayan yang hadir menerima sumbangan julung kali berkenaan terasa seronok, terharu dan dihargai.

Malah, riuh rendah kedengaran di sini sana apabila yang majlis dianjurkan seolah menjadi titik pertemuan dan lokasi berkumpul antara mereka (golongan nelayan) yang tidak pernah kenal penat lelah membekalkan sumber protein utama kepada rakyat Pulau Pinang.

Afif berkata, Kerajaan Negeri menjanjikan sumbangan pukat sebanyak dua kali setahun kepada nelayan-nelayan negeri Pulau Pinang.

“Peruntukan berjumlah RM1.4 juta telah disediakan bagi menjayakan usaha tersebut pada tahun 2014.

“Ini adalah sebagai penghargaan kepada jasa 2,981 nelayan seluruh negeri yang ‘menaikkan’ ikan ke darat bagi memenuhi keperluan rakyat seharian,’’ katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pukat Peringkat Daerah Barat Daya di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon.

Sebagai tindakan lanjut, Afif memberitahu bahawa pihaknya sedang dalam usaha menjayakan Tabung Usahawan Tani bagi membolehkan nelayan dan petani membuat pinjaman tanpa bunga daripada Kerajaan Negeri berjumlah maksimum RM5,000.

“Skim ini akan melibatkan petani dan nelayan berumur 40 tahun dan ke bawah.

“Ia adalah bagi menggalakkan anak-anak muda bergiat dalam sektor ini di samping meningkatkan kadar keluaran makanan negeri,” ujar beliau.

REAKSI NELAYAN:

ISMAIL Kassim, 71, nelayan Seri Pantai, Pantai Jerejak. Beliau amat bersyukur dengan pemberian tersebut kerana ia sedikit sebanyak dapat menjimatkan pendapatannya.

“Pukat ini pun agak mahal dalam lingkungan RM80 hingga RM160, oleh itu (sumbangan) ini dapat juga membantu saya mengurangkan bajet,” jelasnya.

KHOR Kok Siang, 43, dari Sungai Udang, Seberang Perai Selatan.

“Bantuan dua kali setahun ini membuktikan Kerajaan Negeri mengotakan janjinya.

“Bantuan seperti ini sudah cukup memadai bagi meringankan beban ditanggung nelayan  memandangkan pukat yang digunakan cepat rosak dan perlu diganti dengan kerap,’’ ujar Kok Siang.

R. Rajan, 63, penangkap ketam di Persiaran Gurney. Beliau memuji usaha Kerajaan Negeri dalam menarik generasi muda yang jelas tidak berminat turun ke laut.

“Bantuan seperti pukat dan skim pinjaman yang dinyatakan diharap akan dapat menarik minat anak muda di negeri ini untuk turun ke laut menjana pendapatan,” jelas beliau yang menjadi nelayan sejak remaja bersama bapanya.

KAMARUDDIN Othman, 61, nelayan dari Tanjung Tokong, Tanjung Bungah. Beliau melahirkan harapan agar Kerajaan Negeri turut dapat meneliti bantuan pada aspek lain seperti enjin bot bagi menggantikan yang usang.

“Banyak wang yang diperlukan untuk menggantikan enjin bot,’’ katannya.