Suntikan modal US$25 juta dan 100 peluang kerja baru untuk Pulau Pinang

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

ROSLI Jaafar (tiga dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Andreas Scheibe (dua dari kanan) sambil diperhatikan Ketua Menteri dan Timbalan-timbalan Ketua Menteri pada Majlis Menandatangani MOU di antara PD dan VAT di sini baru-baru ini.
ROSLI Jaafar (tiga dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Andreas Scheibe (dua dari kanan) sambil diperhatikan Ketua Menteri dan Timbalan-timbalan Ketua Menteri pada Majlis Menandatangani
MOU di antara PD dan VAT di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Sebuah kilang pengeluar semikonduktor antarabangsa dalam sektor pembuatan injap-injap vakum, VAT Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd. (VAT) telah memilih Pulau Pinang di antara negara rantau Asia lain dengan pembukaan kilang baru berkeluasan 7.5 hektar di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan (SPS) di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Andreas Scheibe berkata, faktor utama Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi pelaburan baru pihaknya adalah disebabkan infrastruktur moden serta sokongan padu daripada Kerajaan Negeri dan Malaysian Investment Development Authority (MIDA).

“Ketersediaan pekerja berkelulusan dan berkualiti tinggi, jaringan pembekal yang banyak dan cekap dalam membekalkan komponen elektronik dan mekanikal serta infrastruktur pengangkutan moden menjadi tarikan utama untuk kami mengembangkan perniagaan di sini,” katanya pada Majlis Menandatangani MOU di antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan VAT Manufacturing Sdn. Bhd.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Pengerusi Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar dan Pengarah MIDA, Zabidah Daud. Terdahulu Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, dengan suntikan modal sebanyak 25 juta USDollar tersebut sekaligus membuka 100 peluang pekerjaan baru di kawasan Batu Kawan, di mana lebih 65 peratus daripadanya adalah berintensifkan kemahiran dan pengalaman.

“VAT yang akan memulakan operasinya Disember tahun ini bukan saja membuka peluang pekerjaan buat rakyat setempat, malah, 50% sumber bekalan operasinya adalah daripada pembekal tempatan yang berkelayakan.

Tambah beliau, walaupun ianya adalah langkah kecil buat VAT, namun, adalah peluang terbesar buat rakyat dan negeri ini apabila terpilih di antara tujuh buah negara lain seperti China, Jepun, Korea, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

“Wawasan Pulau Pinang agar dapat menjadi sebuah bandaraya pintar bertaraf antarabangsa boleh terlaksana sekiranya kita meneruskan untuk membina, mengekalkan dan menarik pelabur baru datang ke sini,” ujar Guan Eng.