Sunway Carnival, ADUN rai 25 anak yatim

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

SEBERANG JAYASunway Carnival Mall Seberang Jaya meraikan 25 anak yatim dari Rumah Permata Kasih dalam satu jamuan berbuka puasa di sini baru- baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin sendiri merasmikan majlis amal bertemakan The Glow of Raya tersebut serta menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan berupa sepasang baju raya dan duit raya kepada anak-anak yatim berkenaan.

Dr. Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani semasa berucap merakamkan penghargaan atas komitmen Sunway Carnival mengadakan majlis amal tersebut sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Saya bersyukur kerana masih lagi berkesempatan untuk menjalani aktiviti kebajikan seperti ini. “Saya amat berterima kasih kepada pihak Sunway Carnival kerana sudi menjayakan majlis kebajikan seperti ini,” ujar Dr. Afif.

Justeru, beliau berharap lebih banyak lagi badan korporat menganjurkan majlis amal sebagaimana yang dilakukan oleh Sunway Carnival.