Suoq Ramadan beri impak ekonomi positif kepada peniaga

Admin

PANTAI JEREJAK – Bagaikan tidak lengkap bulan Ramadan sekiranya tidak berkunjung ke bazar yang menyajikan aneka juadah untuk berbuka puasa.

Di perkarangan Masjid Umar Ibnu AlKhattab, Bayan Baru, sejumlah 104 lot niaga mendaftar menyertai Souq Ramadan 2016 anjuran Kerajaan Negeri di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Exconya, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, selain penjualan juadah berbuka puasa, penganjuran Suoq Ramadan kali ini adalah lebih meriah dengan penyertaan pelbagai latar belakang perniagaan.

“Antaranya, melalui kategori jualan dan promosi barangan serta perkhidmatan sempena Hari Raya Aidilfitri, kategori perabot dan aksesori, kategori bazar dan kategori ibadah yang merangkumi solat tarawih, tazkirah serta program bersama Imam jemputan,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Suoq Ramadan 2016 di sini baru-baru ini.

Perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa & Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ghazali Derahman dan Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Menurut Abdul Malik, kali pertama Kerajaan Negeri menganjurkan Suoq Ramadan adalah pada tahun 2011 dengan 24 penyertaan sahaja.

“Namun, sejak itu, penyertaan semakin bertambah dan ini membuka peluang kepada peniagapeniaga kecil sekaligus memberi impak ekonomi yang positif kepada mereka (peserta suoq),” katanya.

Uniknya, aktiviti yang dianjurkan secara tahunan tersebut turut dijalankan serentak dengan Program Ehya Ramadan, iaitu penyampaian insentif Kerajaan Negeri kepada 224 masjid dan surau Jumaat bagi seluruh Pulau Pinang melibatkan jumlah sumbangan sebanyak RM233,000.

Dalam majlis berasingan, Abdul Malik turut menyerahkan sejumlah 4,161 apron untuk diedarkan kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan yang berdaftar dengan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

Pengedaran apron dibuat melalui ADUN dan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) membabitkan 1,331 peniaga di daerah Timur Laut dan Barat Daya, daerah Seberang Perai Utara, SPU (1,061), Seberang Perai Tengah, SPT (1,459) dan Seberang Perai Selatan, SPS (310).