SUP, sukan air terbaru di Pulau Pinang yang bakal popular

GEORGE TOWN – Stand up paddleboarding atau SUP  mungkin tidak asing lagi bagi sesetengah pihak, namun di Pulau Pinang sukan air ini masih lagi baru dan belum popular sepenuhnya dalam kalangan komuniti.

Kelihatan seakan-akan kayak tetapi sukan air yang berasal dari Hawaii ini berbeza daripada segi cara mengemudi yang mana seorang peluncur perlu berdiri sambil mengendalikan pendayung untuk menggerakkan papan luncur yang berbentuk rata tanpa ruang duduk khas sebagaimana lazimnya.

KL Tan.

Menurut perintis sukan SUP di Pulau Pinang, Tan Kuan Ling, idea memperkenalkan sukan tersebut bermula sejak 2018 apabila Pertandingan Renang Merentas Selat Antarabangsa yang diadakan setiap tahun terpaksa dihentikan kerana masalah obor-obor.

Beliau yang yang juga pengasas kepada Penang Open Water Swimmer menjelaskan bahawa sukan air SUP  pada awalnya dimulakan bersama-sama dua rakannya sebelum disertai oleh lebih ramai komuniti pada masa kini.

“SUP merupakan sukan air yang selamat serta berpotensi sebagai alternatif untuk mendekatkan komuniti kepada alam semula jadi.

“Selain itu, sukan ini juga dapat memberi pendedahan serta kesedaran kepada orang ramai mengenai langkah-langkah keselamatan semasa melakukan sebarang aktiviti melibatkan sukan air termasuk SUP.

SUP tidak memerlukan kemahiran khusus tetapi memerlukan peluncur berdiri semasa mengendalikan papan luncur.

“Dan dengan pengalaman lebih dua tahun melibatkan diri dalam sukan ini, kami telah mempunyai banyak pengetahuan mengenai keadaan air laut termasuk langkah keselamatan, arah angin dan keadaan cuaca, kemahiran mendayung serta lain-lain lagi,” ujarnya yang lebih dikenali sebagai KL Tan ketika ditemui Buletin Mutiara baru-baru ini.

Tambahnya, bagi mereka yang berminat untuk menyertai SUP tetapi tidak mempunyai papan luncur atau kelengkapan berkaitan boleh juga menyewa daripada pihaknya dengan bayaran RM140.

“Selain pakaian dan kasut, semua peralatan berkaitan sukan ini juga disediakan. Pada masa sama, kami juga akan memberikan bimbingan kepada para peserta mengenai kemahiran untuk mengendalikan SUP.

“Walaupun agak selamat tetapi orang ramai tidak digalakkan melakukan sukan ini secara sendirian sebaliknya disarankan untuk diadakan secara berkumpulan bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini.

“Namun, sekiranya seseorang tetap mahu mendayung sendirian, mereka perlu memerhatikan keadaan cuaca, arah angin, air pasang dan surut serta pastikan tidak ada obor-obor,” katanya.

Amirizal Ishak menunjukkan cara pengendalian papan luncur SUP.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar SUP dapat menjadi satu platform untuk menarik kehadiran pelancong ke negeri ini bagi menerokai aktiviti baru di negeri ini di samping menikmati makanan jalanan dan warisan budaya yang sememangnya sinonim dengan negeri Pulau Pinang.

“Kegiatan mempromosi sukan ini akan menjadi titik permulaan baru bagi sektor pelancongan negeri yang mana sekiranya pelancong mahu bermain sukan ini, mereka akan datang ke Pulau Pinang.

“Oleh itu, pihak kami kini sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai di negeri ini untuk dijadikan lokasi tetap bagi acara sukan SUP bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai masyarakat.

“Selain itu, kami juga akan menganjurkan lebih banyak aktiviti atau bengkel berkaitan sukan ini pada masa depan termasuk pertandingan peringkat kebangsaan, penubuhan Klinik SUP serta kejuaraan mini,” ujarnya lagi.

Yeoh Soon Hin dan pasukan Buletin Mutiara bergambar kenang-kenangan bersama-sama barisan jurulatih SUP ketika mencuba sukan ini baru-baru ini.

Sementara itu, pengasas SUPONMAN Malaysia yang juga ketua jurulatih SUP, Amirizal Ishak berharap agar sukan SUP dapat dipromosikan ke peringkat lebih tinggi supaya aktiviti berkaitan dapat dikembangkan.

“Kita harap sukan ini dapat dipromosi sehingga kita boleh mengadakan pertandingan bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk menyertai SUP kerana ia agak ketinggalan di negara kita berbanding negara jiran seperti Thailand dan Singapura.

“Selain itu, harapan lebih tinggi agar sukan ini akan dimasukkan dalam Sukan Olimpik pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin ketika ditemui selepas mencuba sukan tersebut berkata bahawa SUP mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai salah satu sukan air popular di negeri ini pada masa akan datang.

“Memandangkan negeri Pulau Pinang dikelilingi oleh lautan, banyak aktiviti sukan air dapat dijalankan termasuklah SUP.

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) melihat potensi SUP sebagai produk untuk menarik pelancong khususnya mereka yang menggemari aktiviti sukan kerana tidak semua negeri sesuai untuk mengembangkan sukan ini,” ujarnya.

Yeoh Soon Hin.

Tambah Soon Hin, walaupun masih di peringkat awal namun beliau yakin bahawa sekiranya sukan tersebut dipromosika secara berterusan ia akan berkembang menjadi produk pelancongan baru di negeri ini.

“Oleh itu, kita berharap agar dapat menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk mempromosikan lagi sukan ini sehingga ia menjadi sebagagian daripada identiti Pulau Pinang,” ulasnya lagi.

Mereka yang berminat boleh menghubungi KL Tan di talian: 012-4777506 atau kunjungi laman Facebook: https://www.facebook.com/supon.sports atau laman sesawang https://www.suponsports.com/ untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD