Suruhanjaya siasatan insiden tapak kerja Tanjung Bungah diwarta dan tauliah diperkenalkan setelah diperkenan TYT, umum KM

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 3 Januari lalu mengumumkan pewartaan penubuhan Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat insiden di tapak pembinaan dekat Tanjung Bungah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pewartaan penubuhan tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri(TYT) pada 21 Disember 2017.

“Melalui pewartaan ini, bahawasanya Yang di-Pertua Negeri mendapati suai manfaat dikeluarkan suatu tauliah untuk melantik Pesuruhjaya-pesuruhjaya dan memberikan kuasa kepada mereka untuk menyiasat kegagalan strukturstruktur sementara dalam insiden di tapak kerja yang berlaku di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada 21 Oktober 2017.

“Maka oleh yang demikian, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya oleh Perenggan 2(3)(d) dan subseksyen 3(1) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119], Yang di-Pertua Negeri mengeluarkan tauliah dan melantik Datuk Yeo Yang Poh sebagai Pengerusi Pesuruhjaya dan Datuk Ir. Dr. Gue See Saw serta Profesor Ir. Dr. Haji Ramli Nasir sebagai Ahli Pesuruhjaya,” ujarnya ketika membacakan Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkaitan pada sidang media di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu bahawa surat pelantikan Pesuruhjaya-pesuruhjaya akan dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

“Apabila dilantik kelak, Datuk Yeo Yang Poh hendaklah menjadi Pengerusi dan bahawa Pengerusi dan seorang Pesuruhjaya hendaklah membentuk kuorum untuk mana-mana sesi pendengaran.

“Siasatan itu juga hendaklah diadakan di khalayak awam, di mana-mana tempat, pada mana-mana tarikh dan bila-bila masa sebagaimana yang ditentukan oleh Pengerusi dari semasa ke semasa.

“Selain itu, Pesuruhjaya-pesuruhjaya hendaklah dalam menyempurnakan tauliah ini, mengikut apa-apa tatacara yang Pengerusi menganggap patut dan suai manfaat dari semasa ke semasa.

“(Dan) Pesuruhjaya-pesuruhjaya hendaklah menyiapkan siasatan dan mengemukakan suatu laporan bertulis kepada Yang di-Pertua Negeri dalam masa tiga (3) bulan dari tarikh pertama sesi pendengaran Suruhanjaya atau dalam tempoh masa lanjutan yang dibenarkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pewartaan sama, Yang di-Pertua Negeri turut memperkenankan pelantikan Dato’ Ng Wee Kok sebagai Setiausaha kepada Suruhanjaya Siasatan ini mengikut Seksyen 7 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].

Menurut Warta Kerajaan Negeri itu, Pesuruhjaya-pesuruhjaya dilantik untuk menjalankan siasatan berdasarkan terma-terma berikut:
a. untuk menyiasat sebab atau sebab-sebab kegagalan struktur-struktur sementara di dalam suatu insiden di tapak kerja yang berlaku di Tanjung Bungah pada 21 Oktober 2017 (selepas ini disebut ‘tapak pembinaan tersebut’), termasuk sama ada sebab atau sebab-sebab berkaitan dengan kuari yang berdekatan;

b. untuk menyiasat sama ada kegagalan struktur-struktur sementara berkenaan, kematian dan kecederaan yang berikutan, berpunca daripada apa-apa kelalaian, kesemboronoan, pelanggaran kewajipan profesional atau kewajipan undang-undang salah laku atau perbuatan sengaja atau kegagalan bertindak oleh mana-mana orang, syarikat, atau pihak berkuasa;

c. untuk mengesyorkan apa-apa tindakan undang-undang yang wajar atau tindakan lain, jika perlu, yang patut diambil terhadap mana-mana orang, syarikat atau pihak berkuasa berkenaan yang didapati bertanggungjawab ke atas kegagalan berkenaan dan kehilangan nyawa serta kecederaan;

d. untuk menyiasat sama ada semua kelulusan yang perlu untuk atau berkaitan dengan projek di tapak pembinaan tersebut telah dipohon dengan betul dan telah diperoleh menurut undang-undang yang dipakai;

e. untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai, sebarang perubahan atau penambahbaikan terhadap proses-proses dan prosedur-prosedur yang relevan, yang patut diambil atau dibuat oleh pihak berkuasa atau mana-mana pihak yang lain untuk mengelakkan atau menghindari berlakunya kejadian yang serupanya;

f. untuk membuat apa-apa keputusan yang selanjutnya atau keputusan lain yang berkaitan atau bersampingan dengan mana-mana atau semua perkara di atas.