“Rakyat Pulau Pinang rakyat Malaysia juga, harap Pusat segera tunai janji salur bantuan kewangan bencana banjir”

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SHUM JIAN-WEI

BATU LANCANG – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menanggung keseluruhan kos berjumlah RM27,500 bagi membaiki bumbung rosak di ketiga-tiga blok rumah pangsa kos rendah, Taman Seri Damai dekat sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu bahawa dalam kejadian bencana banjir dan ribut paling dahsyat pada 4 dan 5 November lalu, bumbung di Tingkat 16 Blok 21, 23 dan 25 dekat sini diterbangkan angin kencang.

“Kejadian tersebut telah menyebabkan 36 unit di ketiga-tiga blok rumah pangsa kos rendah di sini mengalami kerosakan.

“(Dan) difahamkan, air hujan turut melimpah masuk ke dalam kediaman penghuni,” ujarnya sejurus meninjau keadaan di aras atas rumah pangsa berkenaan 14 Januari lalu.

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Danny Law Heng Kiang serta Bendahari Perbadanan Pengurusan Taman Seri Damai, Mohd. Fairuz Abdul Muthaliff dan wakil-wakil kontraktor.

Dalam pada itu, Mohd. Fairuz turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri sendiri yang tidak pernah jemu membantu penduduk di sini.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, kepada Ketua Menteri dan ADUN yang tidak pernah jemu tolong setiap kali kami minta pertolongan.

“Terima kasih daripada penduduk di sini dan juga Perbadanan Pengurusan Taman Seri Damai,”
katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng meminta supaya Kerajaan Persekutuan segera menunaikan janji untuk membantu rakyat Pulau Pinang yang terjejas akibat banjir.

“Saya ingin meminta Kerajaan Pusat supaya beri bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di sini (Pulau Pinang) dan harap dapatlah janji (yang dibuat sejak) November lalu ditunaikan.

“Kita (Kerajaan Negeri) kesal apabila sejak 2013 sehingga kini, daripada RM235 juta bantuan kewangan mangsa-mangsa bencana seluruh negara, Pulau Pinang hanya menerima RM35,500 sahaja, mana cukup.

“Itupun (jumlah RM35,500) tidak termasuk kejadian banjir pada November lalu…mengapa tidak bayar?

“Rakyat Pulau Pinang pun rakyat Malaysia juga, lagipun rakyat Pulau Pinang bayar cukai RM6.5 bilion setiap tahun tidak termasuk GST (cukai barangan dan perkhidmatan) sejak 1 April 2015, rakyat Pulau Pinang membayar RM5.6 bilion,” jelasnya kepada pemberita di sini.

Apabila disoal sama ada tindakan Kerajaan Persekutuan tidak menyalurkan bantuan bencana kepada mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang adalah ekoran kerana menyokong Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, Guan Eng berharap ia adalah tidak benar.

“Saya harap Kerajaan Pusat dapat membuktikan bahawa semua persepsi itu tidak benar.

“(Kerana) Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memberikan (bantuan bencana) RM700, dan RM500 (bantuan bencana Kerajaan Pusat) sekiranya diberikan kepada mangsa-mangsa banjir pasti akan lebih membantu,” ulasnya.