Syarat baru mohon & baharui lesen penjaja

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

PERAI – Bagi membolehkan lesen penjaja baru dikeluarkan atau diperbaharui, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal mewajibkan para penjaja makanan menggunakan bekas makanan mudah reput (biodegradable rice boxes) berkuatkuasa 1 Januari tahun depan di sini.

Ahli Majlis MPSP, Teoh Seang Hooi ketika ditemui berkata, inisiatif tersebut merupakan salah satu usaha pihak berkenaan dalam mendidik para penjaja di seluruh kompleks makanan MPSP berhubung aspek menghargai dan memelihara alam sekitar.

Katanya, berkuatkuasa 1 Januari tahun depan, semua penjaja di kompleks penjaja MPSP dilarang sama sekali menggunakan bekas polisterin.

“Penggunaan bekas mudah reput ini lebih mesra alam berbanding polisterin yang mencemarkan alam sekitar, tidak boleh dikitar semula mahupun dilupuskan,” katanya ketika mengagihkan 1,000 bekas makanan mudah reput kepada 30 gerai makanan di Kompleks Makanan MPSP Taman Chai Leng di sini baru-baru ini. Menurut Seang Hooi, bekas makanan mudah reput tersebut akan dibekalkan dan para penjaja boleh mendapatkannya daripada MPSP.

“Jadi, para penjaja tidak ada alasan mengatakan bahawa ‘tiada stok’ kerana bekalan terbabit memang disediakan MPSP.

“Kegagalan para penjaja mematuhi syarat berkenaan bakal menyebabkan lesen masing-masing ditarik balik,” ujar beliau sambil menegaskan bahawa saranan tersebut telah dimaklumkan sejak 1 Januari lalu.

biodegrablericeboxes
TEOH Seang Hooi (dua dari kanan) menyerahkan bekas makanan mudah reput kepada seorang peniaga
di Kompleks Makanan MPSP Taman Chai Leng di sini
baru-baru ini.

Dalam pada itu, Seang Hooi memberitahu bahawa MPSP juga menggalakkan para pelanggan untuk membawa bekas makanan sendiri dari rumah.