Syarat baru untuk pengusaha pusat hiburan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWNMajlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) negeri baru-baru ini memutuskan bahawa para pengusaha tempat hiburan yang membuat permohonan baru atau membaharui lesen tidak akan disyaratkan membayar deposit kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Lanjutan itu, MMK turut memutuskan bahawa deposit lebihan atau deposit yang telah dibayar untuk permohonan baru serta pembaharuan lesen akan dipulangkan.

Bagi kes-kes rayuan yang dipertimbangkan Jawatankuasa Rayuan Negeri Mengenai Lesen Hiburan, MMK juga telah memutuskan beberapa perkara mengikut jenis kes masing-masing.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yow berkata, bermula tahun ini, deposit RM5,000 akan dikenakan bagi setiap premis hiburan (setiap kategori) membabitkan kes rayuan atas penolakan bagi permohonan baru atau pembaharuan lesen yang berjaya.

“Contohnya, bagi pusat hiburan snuker dan karaoke, ia merupakan dua kategori yang berbeza. Jadi pengusaha perlu membayar jumlah keseluruhan RM10,000.

“Berlainan pula bagi kes rayuan pengusaha yang pernah melanggar syarat operasi atau undang-undang melibatkan polis, pihak kastam dan imigresen yang mana sekiranya permohonan berjaya, bayaran sebanyak RM20,000 akan dikenakan

“Bagi kes yang mungkin melibatkan penutupan operasi oleh pihak berkuasa iaitu yang dikenakan terhadap pengusaha yang didapati melanggar peraturan selepas memperoleh lesen, wang deposit telah dibayar tidak akan dipulangkan ,” katanya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut mengesyorkan para pengusaha pusat hiburan supaya menubuhkan sebuah persatuan untuk menjadi pengantara antara pihak berkuasa bagi memudahkan segala urusan yang dilakukan.

CHOW Kon Yow (kiri) menunjukkan dokumen syaratsyarat baru operasi pusat hiburan tempatan pada sidang media di sini baru-baru ini
CHOW Kon Yow (kiri) menunjukkan dokumen syaratsyarat baru operasi pusat hiburan tempatan pada sidang media di sini baru-baru ini